Masa sesuai laksana rasionalisasi subsidi, tangani defisit negara - Utusan Malaysia

Masa sesuai laksana rasionalisasi subsidi, tangani defisit negara

Fleet card sistem kawalan subsidi ada had isian liter - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu memberi tumpuan kepada pemulihan dasar dalam Belanjawan 2025, terutamanya ketepatan pelaksanaan rasionalisasi subsidi bagi menangani defisit fiskal negara, menurut Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO).

Ketua Ekonominya, Khor Hoe Ee berkata, sudah tiba masanya untuk menjadikan subsidi lebih bersasar kerana dasar subsidi semasa adalah begitu luas.

“Pandangan kami terhadap Malaysia adalah ekonomi berjalan dengan baik. Pertumbuhannya sangat kuat dan inflasi adalah rendah. Jadi, mereka (Malaysia) harus mengambil peluang ini untuk membina semula ruang dasar.

“Seperti yang diketahui, Malaysia mengalami defisit yang agak besar semasa pandemik. Jadi negara itu telah menggunakan ruang perniagaan pada nisbah hutang yang cukup tinggi.

“Jadi ini benar-benar peluang yang baik untuk menyatukan dan merasionalisasi subsidi yang pada amat berkesan dalam mengawal inflasi,” katanya pada taklimat media Kemas Kini Suku Tahunan AMRO mengenai Tinjauan Ekonomi Serantau ASEAN+3 secara dalam talian semalam.

Sementara itu, Hoe Ee berkata, sudut lain yang boleh dilakukan oleh Malaysia pada Belanjawan 2025 adalah perbelanjaan pelaburan untuk meningkatkan daya saing ekonomi.

“Bidang lain yang diharap akan diberi penekanan adalah dari segi perbelanjaan pelaburan untuk meningkatkan daya saing ekonomi.

“Kami tahu Malaysia kini cuba meningkatkan rantaian nilai dari segi sektor pembuatan ke peringkat seterusnya dan kami menjangkakan mereka akan membelanjakan lebih banyak untuk infrastruktur, terutamanya untuk menaik taraf kitaran elektronik,” ujarnya.

Tambah beliau, Malaysia juga mempunyai kekurangan dari segi tenaga kerja mahir, namun percaya Malaysia mampu mengatasinya.

Dalam pada itu, AMRO menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia mampu melepasi sasarannya sebanyak 4.7 peratus bagi 2024.

Menurut Hoe Ee, AMRO mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang agak tinggi pada 4.7 peratus untuk 2024 dan menaikkan kepada 4.9 peratus untuk 2025.

Katanya, Malaysia menunjukkan prestasi yang agak baik dari segi pertumbuhan dan menarik banyak pelaburan serta inflasi masih agak rendah.

“Jelas ada potensi untuk Malaysia melakukan lebih baik daripada itu dan itu mungkin kerana jika pelaksanaan pelaburan lebih kukuh daripada apa yang kita ambil kira.

“Saya fikir kadar pertumbuhan akan lebih tinggi daripada apa yang kami jangka pada 4.7 peratus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN