KAD kredit merupakan satu daripada alat kewangan yang membolehkan anda membuat pembelian tanpa menggunakan wang tunai. Ia memberikan akses kepada sejumlah had kredit untuk berbelanja.
Setelah digunakan, jumlah tersebut perlu dibayar balik kepada bank pada tarikh tertentu.
Tambahan pula, penggunaan kad kredit memudahkan urusan perbelanjaan harian, terutamanya untuk transaksi besar atau kecemasan.
Memiliki kad kredit bukanlah satu keperluan mutlak tetapi ia boleh menjadi alat yang sangat berguna jika digunakan dengan bijak.
Jadi, untuk keluaran Ringgit minggu ini kami senaraikan beberapa sebab kenapa anda perlukan kad kredit
Nilai Kredit
Jika anda mahu membina atau meningkatkan nilai kredit, maka kad kredit ialah pilihan yang tepat.
Nilai kredit yang bagus penting untuk mendapatkan kelulusan pinjaman rumah atau kereta, menyewa pangsapuri atau dalam beberapa kes, bagi mendapatkan pekerjaan.
Bank lebih mudah memberikan pinjaman kepada mereka yang mempunyai rekod pembayaran hutang yang bersih, tidak tertunggak dan bukan dalam kategori muflis.
Kemudahan dan fleksibiliti
Sekiranya anda kerap melakukan pembelian dalam talian atau melancong, kad kredit akan memudahkan urusan pembayaran.
Kad kredit juga menawarkan keselamatan dan kemudahan yang lebih baik berbanding tunai atau kad debit terutamanya semasa menempah hotel, menyewa kereta atau membeli tiket kapal terbang.
Ganjaran dan kelebihan
Seperti yang kita tahu, kad kredit banyak menyediakan ganjaran seperti pulangan tunai, mata ganjaran atau diskaun. Sekiranya mahu menikmati kelebihan yang ditawarkan, tidak ada salahnya jika anda mahu menggunakan perkhidmatan kad kredit.
Dana kecemasan
Ramai penasihat kewangan memberi peringatan untuk menyediakan wang kecemasan dan kad kredit adalah antara medium yang boleh digunakan pada waktu genting.
Jika tidak ada wang kecemasan sedia ada atau hanya mahu meluaskan jaringan wang kecemasan, ada faedahnya jika anda mendapatkan kad kredit.
Pengurusan hutang
Kad kredit juga datang dengan tanggungjawab besar, di mana anda perlu berdisiplin membayar baki atau hutang setiap bulan untuk mengelakkan caj faedah.
Kalau anda seorang yang berdisiplin dan mampu membayar tepat pada masa, besar kemungkinan pemilikan kad kredit akan menguntungkan.
Ia boleh membantu anda mengurus pembelian yang lebih besar tanpa perlu membayar wang pendahuluan.-UTUSAN










