JOBSTREET by SEEK luaskan jaringan pengiklanan pekerjaan di Perlis, Kelantan dan Terengganu melalui kempen terbaharunya menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Pemangku Pengarah Urusan Jobstreet by SEEK Malaysia, Nicholas Lam berkata, syarikat gembira dengan penerimaan majikan menggunakan inisiatif yang telah diberikan.
“Platform kami yang dipacu oleh AI dapat memastikan perniagaan berhubung dengan calon yang paling sesuai.
“Hal ini dapat menangani keperluan pengambilan pekerja khusus, terutamanya di tengah-tengah usaha pemulihan ekonomi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelas Nicholas, langkah strategik itu direka untuk memperkasakan perniagaan di negeri berkenaan dengan menawarkan mereka akses kepada iklan pekerjaan percuma sambil memanfaatkan teknologi AI yang canggih untuk mencari calon yang tepat.
“Dilancarkan pada Ogos 2024, inisiatif ini berdasarkan kempen terdahulu di Sabah dan Sarawak, di mana peluang pekerjaan di platform meningkat sebanyak 40 peratus dan memberikan majikan akses yang lebih baik untuk mencari bakat yang betul.
“Sejak berkembang ke Perlis, Terengganu dan Kelantan, Jobstreet telah menyaksikan peningkatan yang luar biasa sebanyak 400 peratus dalam iklan pekerjaan yang menunjukkan ada permintaan kukuh daripada majikan tempatan.
“Kaedah ini memberikan lonjakan dalam aktiviti pencarian pekerjaan di kawasan berkenaan dalam beberapa bulan kebelakangan ini dan sememangnya menjadi masa yang sesuai untuk menyiarkan iklan pekerjaan dalam talian dan bukannya bergantung pada kaedah pengambilan pekerja tradisional,” ujarnya.
Tambahnya, dengan menggabungkan model freemium dengan platform berkuasa AI SEEK, Jobstreet menyasarkan untuk menyelaraskan proses pengambilan majikan.
“Kami ingin memastikan mereka berhubung dengan bakat yang betul berdasarkan kemahiran, matlamat kerjaya dan arah aliran pasaran.
“Sehingga kini, lebih 266,000 calon dari ketiga-tiga negeri ini telah terlibat dengan Jobstreet, mempamerkan kumpulan bakat yang semakin berkembang bersedia untuk memenuhi keperluan perniagaan tempatan,” kongsinya.
Dalam pada itu, Nicholas berkata, teknologi yang digunakan dalam mencari pekerjaan itu dapat membina masa depan yang lebih baik untuk bakat tempatan mencari pekerjaan.
“Dengan menggunakan teknologi pemadanan dikuasakan AI SEEK, majikan boleh mencari calon dengan lebih cekap, memastikan kesesuaian yang lebih kukuh dan kadar pengekalan yang lebih tinggi.
“Inisiatif iklan pekerjaan percuma ditambah dengan keupayaan AI kami, membolehkan perniagaan tempatan mengakses bakat yang mereka perlukan untuk berkembang.
“Tindak balas yang positif daripada kedua-dua pencari kerja dan majikan menunjukkan betapa pentingnya menawarkan penyelesaian yang boleh diakses sedemikian dalam pasaran kerja yang kompetitif hari ini,” jelasnya.-UTUSAN










