ERA digital membolehkan orang ramai mendapat akses yang mudah terhadap pelbagai perkhidmatan di hujung jari termasuk skim pembiayaan terutamanya ‘Beli Sekarang Bayar Kemudian’ (BNPL), sekali gus menjerat generasi muda untuk terjerumus dalam kancah hutang.
Pengguna sangat mudah untuk mendapat akses kepada BNPL ini berbanding skim pembiayaan peribadi konvensional dengan hanya di telefon bimibit sahaja kerana ia banyak ditawarkan oleh platform e-dagang dan syarikat teknologi digital.
Menurut Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB) industri BNPL mencatatkan pendedahan kredit atau baki jumlah tertunggak sebanyak RM1.42 bilion pada akhir suku pertama 2024, meningkat sebanyak 34 peratus dari akhir tahun 2023.
BNPL menyumbang sebanyak 0.07 peratus daripada jumlah keseluruhan hutang isi rumah pada akhir 2023 dan majoriti daripada 3.7 juta pemegang akaun BNPL adalah mereka yang bekerja, berusia di antara 21 dan 45 tahun.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, keghairahan syarikat di belakang BNPL yang memikirkan keuntungan semata-mata telah menggoda golongan belia untuk membeli barangan tidak perlu.
Katanya, BNPL akan menggoda seseorang untuk mendapatkan barangan keinginan dan mewah, walaupun ia di luar kemampuan mereka.
“Akses yang mudah kepada perkhidmatan ini sudah semestinya menjadikan golongan muda mudah terperangkap dan mereka yang tidak berkeinginan pula akan digoda habis-habisan sehingga turut terjebak.
“Ini juga menyebabkan ketagihan dan mendorong seseorang itu membeli lebih banyak barangan melalui kemudahan tersebut
“Seterusnya, perkara ini akan membawa kepada lambakan hutang kepada penggunanya,” katanya baru-baru ini.
Mengulas dari faktor syariah pula, beliau berkata, penasihat-penasihat syariah hanya melihat dari sudut teknikal sahaja yang mengesahkan perkhidmatan ini ‘patuh shariah’ tanpa melihat kepada impak keseluruhan.
Beliau melihat ada syarikat yang menawar dan mempromosikan kemudahan BNPL menggunakan terma patuh syariah untuk meyakinkan pengguna.
“Namun, syariah yang mereka ikut itu hanya pada permukaan ataupun teknikal. Sebaliknya, ia harus dilihat secara mendalam.
“Patuh syariah adalah apabila syarikat yang menawarkan BNPL harus memastikan pengguna kemudahan ini ada kemampuan dan barangan dibeli adalah keperluan, namun perkara ini tidak berlaku dan tiada syarikat yang menasihatkan pengguna dalam perkara ini,” ujarnya.
Baru-baru ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mendedahkan sebanyak 53,000 individu golongan muda di negara ini iaitu yang berusia bawah 30 tahun sudah dibebani hutang berjumlah hampir RM1.9 bilion.
Berdasarkan data Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), 28 peratus rakyat Malaysia dewasa yang bekerja meminjam wang hanya untuk membeli barangan keperluan.
Dalam pada itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, data daripada AKPK sangat membimbangkan seolah-olah hanya peratusan kecil penduduk sahaja yang mempunyai pemahaman yang baik tentang pengurusan atau perancangan kewangan.
Beliau berkata, banyak cadangan telah dikemukakan mengenai kepentingan untuk memupuk celik kewangan seawal pendidikan sekolah rendah tetapi masih belum mendapat sokongan kerajaan untuk pelaksanaannya.
“Malangnya cabaran itu pastinya berkembang pesat dengan media sosial, perbankan dalam talian dan BNPL yang cepat diterima sebagai gaya hidup baharu apabila rakyat menerima teknologi digital.
“Generasi muda dari millennial hingga generasi Z sudah sangat terdedah kepada cabaran kewangan.
“Tanpa pengetahuan yang mencukupi, maka ia tidak akan mengejutkan lebih ramai orang tunduk kepada penipu, muflis dan sudah tentu tidak produktif,” ujarnya.
Tambahnya, selain pendidikan, kerajaan juga perlu melaksanakan syarat yang lebih ketat untuk pinjaman peribadi, kad kredit yang biasanya diberikan oleh bank sebagai sifar cagaran, malah sesetengah bank tidak memerlukan penjamin.-UTUSAN










