PETALING JAYA: Kerajaan disaran memperkenalkan program bantuan kewangan yang mengambil kira perbezaan kos sara hidup dan harga hartanah di setiap negeri dalam Belanjawan 2025.
Pengurus Negara Malaysia, PropertyGuru dan iProperty, Kenneth Soh berkata, harga hartanah di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang cenderung lebih tinggi dan dasar yang sama untuk semua mungkin tidak memenuhi keperluan pembeli rumah di kawasan ini.
Jelas beliau, subsidi yang disesuaikan atau kadar faedah khas bagi pinjaman perumahan boleh membantu mengurangkan ketidakseimbangan ini.
“Untuk terus menggalakkan pemilikan rumah, kami percaya bahawa peningkatan celik kewangan adalah penting untuk membantu bakal pembeli membuat keputusan yang bijak dan merancang kewangan mereka dengan lebih baik.
“Ramai pembeli rumah pertama mungkin menghadapi kesukaran untuk memahami kerumitan pinjaman perumahan, komitmen kewangan dan perbelanjaan berkaitan hartanah.
“Oleh itu, kami mencadangkan pengenalan program celik kewangan yang komprehensif, sebagai sebahagian daripada inisiatif perumahan sedia ada kerajaan, untuk membantu rakyat Malaysia memahami tanggungjawab kewangan jangka masa panjang pemilikan rumah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurut Kenneth, selain daripada kebimbangan kewangan, bakal pembeli rumah yang disoal dalam Kajian Sentimen Pengguna PropertyGuru Malaysia Separuh Pertama 2024, menyatakan kebimbangan mengenai kelewatan projek (65 peratus) dan kualiti pembinaan yang rendah (64 peratus) ketika mempertimbangkan hartanah yang baru dilancarkan.
“Kebimbangan ini menekankan kepentingan dasar yang memastikan pengurusan projek dan kawalan kualiti, serta keperluan bagi pemaju untuk menangani isu-isu ini bagi menarik pembeli berpotensi,” katanya.
Jelas beliau, sejak Januari 2023, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengenal pasti dan memulihkan 704 projek sakit atau terbengkalai dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM58.94 bilion.
“Daripada kajian yang sama, 66 peratus responden meminta penguatkuasaan yang lebih baik oleh pihak berkuasa untuk memastikan pematuhan yang tertinggi semasa tempoh liabiliti kecacatan (DLP).
“Begitu juga, 66 peratus menyatakan keperluan untuk penubuhan Dana Jaminan Pemaju untuk melindungi pembeli daripada kehilangan dana akibat kebankrapan atau aktiviti penipuan oleh pemaju.
“Melalui penemuan ini, kerajaan harus mempertimbangkan pengenalan dasar yang lebih kukuh untuk melindungi kepentingan pembeli dan meningkatkan keyakinan dalam pasaran hartanah,” katanya.
Menjelang Belanjawan 2025, PropertyGuru Malaysia berharap agar kerajaan memperkenalkan langkah-langkah yang mempertingkatkan pemilikan rumah, terutamanya untuk pembeli rumah pertama dan komuniti yang memerlukan.
“Komitmen berterusan kerajaan terhadap projek perumahan mampu milik melalui program seperti Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) kekal penting dalam meningkatkan penawaran rumah dalam julat mampu milik,” katanya.
Menurut Kajian Sentimen Pengguna PropertyGuru Malaysia Separuh Pertama 2024, PR1MA adalah pilihan utama bagi 23 peratus responden, terutamanya mereka yang berpendapatan sederhana dalam lingkungan umur 30-an.
“Sebaliknya, Rumah Selangorku menjadi pilihan bagi 15 peratus responden, kebanyakannya mereka yang sudah berkahwin dan mempunyai anak.
“Akhir sekali, PPR dipilih oleh 14 peratus responden, terutamanya mereka dari golongan berpendapatan rendah. Penemuan ini menekankan keperluan kerajaan untuk menyesuaikan inisiatif perumahan dengan keutamaan kumpulan demografi yang berbeza.
“Kerajaan juga harus bekerjasama dengan institusi kewangan untuk menawarkan kadar pinjaman yang lebih menarik, serta mengemas kini dasar secara berkala bagi memenuhi keperluan perumahan akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Kenneth berkata, pihaknya berharap agar belanjawan merangkumi inisiatif yang mempromosikan kelestarian perumahan melalui insentif cukai untuk amalan bangunan hijau dan geran bagi pemilik rumah yang mengamalkan penyelesaian mesra alam.
Jelas beliau, menyokong perumahan sewaan dan mengembangkan skim sewa untuk dimiliki juga akan memberi manfaat kepada mereka yang belum bersedia untuk membeli rumah.
“Kami menggalakkan dialog yang berterusan antara kerajaan dan pihak berkepentingan industri untuk memastikan dasar-dasar yang diperkenalkan adalah berinformasi dan praktikal, serta memupuk pasaran hartanah yang seimbang dan mampan untuk semua,” katanya.-UTUSAN











