PETALING JAYA: Pemaju hartanah mahu kerajaan mempercepatkan proses kelulusan pembangunan bagi projek-projek pusat data dalam Belanjawan 2025, bagi memastikan manfaat secara langsung pembinaan pusat data terutamanya di kawasan strategik.
Pengarah Urusan KL Metro Group, Datuk Low Tak Fatt berkata, langkah-langkah ini akan memastikan Malaysia kekal kompetitif di rantau Asia Tenggara.
“Dari perspektif pemaju hartanah, kerajaan boleh memperkenalkan beberapa langkah untuk membantu Malaysia menjadi hab pusat data.
“Selain itu, kerajaan perlu memperkukuh infrastruktur rangkaian dan bekalan elektrik yang stabil serta mempromosikan penggunaan tenaga boleh baharu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sementara itu, Pengurus Negara Malaysia PropertyGuru dan iProperty, Kenneth Soh berkata, untuk terus meningkatkan daya tarikan Malaysia dan menjadi hab serantau, pihaknya percaya tumpuan tambahan perlu diberikan kepada penambahbaikan infrastruktur terutamanya dari segi kecekapan tenaga dan kelestarian.
“Malaysia telah mencapai kemajuan ketara dalam menarik pelaburan pusat data melalui insentif cukai sedia ada, yang telah meletakkan negara sebagai satu pemain kompetitif di rantau Asia Tenggara.
“Memandangkan penggunaan tenaga yang tinggi bagi pusat data, memberikan insentif untuk penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui, seperti solar atau angin akan membantu mengurangkan kos operasi dan selari dengan matlamat kelestarian Malaysia di bawah Dasar Tenaga Negara 2022-2040.
“Ini juga akan menarik syarikat teknologi yang mengutamakan amalan hijau,” katanya.
Selain itu, jelas beliau, pelaburan lanjut dalam infrastruktur internet berkelajuan tinggi, terutamanya di zon perindustrian, akan memastikan pusat data dapat beroperasi pada kecekapan maksimum.
“Penerusan pelancaran teknologi 5G adalah langkah positif ke arah ini dan kami berharap dapat melihat lebih banyak kemajuan yang akan menyokong operasi pusat data,” katanya.
Pada 11 Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, Malaysia telah meluluskan pelaburan dalam pusat data dan perkhidmatan awan berjumlah RM114.7 bilion bagi tempoh 2021 hingga 2023.
Anwar berkata, Malaysia telah meluluskan pelaburan pusat data dan perkhidmatan awan bernilai RM114.7 bilion antara 2021 hingga 2023.
Sementara itu, Malaysia juga menyasar untuk menarik pelaburan sejumlah RM500 bilion dalam sektor semikonduktor.-UTUSAN










