Batiq lengkapi pembangunan S2 Heights Aman

Batiq lengkapi pembangunan S2 Heights Aman

PEMBANGUNAN baharu ini menawarkan sebanyak 177 unit kediaman Superlink dua tingkat tepi tasik berkonsep Semi-D.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IJM Land melancarkan Batiq @ S2 Heights Aman, satu pembangunan eksklusif baharu seluas  8.09 hektar dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM173 juta. 

Pengurus Besar Kanan IJM Land, Datuk Chai Kian Soon berkata, keluasan itu adalah sebahagian daripada tanah bagi projek S2 Heights. 

“Dengan keluasan 161.87 hektar, S2 Heights Aman memiliki anggaran GDV berjumlah RM1.59 bilion dan memperuntukkan 8.09 hektar untuk pembangunan Batiq. 

“Dari jumlah tersebut, kawasan seluas 17.40 hektar juga dikhususkan sebagai kawasan hijau subur berlatar belakangkan pemandangan tanah tinggi Banjaran Titiwangsa,” katanya dalam kenyataan. 

Kian Soon berkata, Batiq terletak di presint keempat dan terakhir dalam projek S2 Heights dan direka dengan konsep kediaman menenangkan, mengutamakan elemen elegan, sofistikated dan kehidupan yang lebih baik.

“Pembangunan baharu ini menawarkan sebanyak 177 unit kediaman Superlink dua tingkat tepi tasik berkonsep Semi-D, dengan harga bermula daripada RM878,800. 

“Batiq berada di lokasi utama bersebelahan S2 Lake Park berkeluasan 4.86 hektar, Kidz Venture Park seluas 1.21 hektar dan Zon Mesra Haiwan Peliharaan. 

“Di sini, penghuni memiliki akses mudah ke kawasan rekreasi dan pengalaman keseronokan berganda untuk seisi keluarga kerana dikelilingi dengan kemudahan sedia ada. 

“Laluan pejalan kaki, berbasikal dan trek joging sepanjang 12 kilometer menjadi pemangkin kepada gaya hidup sihat,” katanya. 

Menurut beliau, pembangunan berdekatan dengan akses mudah ke lebuh raya utama seperti Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS). 

“Akses ini akan menghubungkan mereka dengan pantas ke Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya, Cyberjaya, Melaka dan laluan bebas tol ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2. 

“Lokasi strategik yang mempunyai akses mudah kepada pelbagai perkhidmatan utama iaitu institusi kewangan, pusat pentadbiran kerajaan, sekolah-sekolah terkemuka dan kemudahan penjagaan kesihatan terkenal seperti Hospital KPJ serta Hospital Columbia Asia. 

“Hab komersial seperti AEON Mall, Mydin Mall, Lotus’s, NSK Trade City, Seremban Gateway dan Palm Mall juga berdekatan, memudahkan penduduk untuk mendapatkan barangan keperluan harian dan membeli-belah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN