Uniqlo Fast Retailing mahu lahirkan pemimpin perniagaan global

Uniqlo Fast Retailing mahu lahirkan pemimpin perniagaan global

PROGRAM Pengurusan Global menarik pelajar berbakat dari seluruh dunia ke ibu pejabat Fast Retailing di Ariake, Tokyo.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Fast Retailing, syarikat induk pakaian global, Uniqlo, melalui Program Pengurusan Global Fast Retailing (Global Management Program), berhasrat untuk membantu melahirkan pemimpin perniagaan global pada generasi akan datang.  

Ketua Penasihat kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Fast Retailing, Co. Ltd., Noriaki Koyama berkata, pihaknya memulakan Program Pengurusan Global pada 2019 dengan kerjasama dengan universiti di seluruh dunia untuk mengumpulkan pelajar bersama kepimpinan Fast Retailing.  

“Program Pengurusan Global menarik pelajar berbakat dari seluruh dunia ke ibu pejabat Fast Retailing di Ariake, Tokyo.  

“Di sini, mereka berpeluang mengalami perniagaan global melalui interaksi dengan eksekutif dan pemimpin syarikat kami. Tujuan utama adalah memberikan pelajar peluang untuk mendalami asas-asas dan realiti perniagaan antarabangsa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.  

Melalui program ini, Koyama berkata, pihaknya memberi fokus kepada pembinaan tenaga kerja yang pelbagai untuk menjadi pemimpin perniagaan global.  

“Untuk Program Pengurusan Global, kami merekrut pelajar dari pelbagai lokasi di seluruh dunia, termasuk Asia, Eropah dan Amerika Utara.  

“Program ini akan menyediakan pelajar dengan latihan yang menangani isu-isu perniagaan tertentu sekali gus memberi pendedahan kepada pengurusan korporat sebenar,” katanya. 

Koyama berkata, kepelbagaian peserta adalah sebahagian penting daripada program ini dan memberikan pelajar peluang untuk berinteraksi dengan budaya baharu serta membolehkan mereka membangunkan kemahiran kepimpinan silang budaya yang penting untuk masa depan mereka sebagai pemimpin perniagaan global.  

Dalam edisi terbaharu program ini, Uniqlo Malaysia telah memilih dua pelajar cemerlang dari Universiti Malaya yang berjaya memenuhi kriteria untuk menyertai program tersebut iaitu Iman L’Feera Syahril Azhar, yang sedang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dan Linguistik serta Nur Irdina Jail, yang sedang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Undang-undang. 

Sementara itu, Koyama ber­kata, sepanjang Program Pengurusan Global, pelajar diberikan peluang untuk terlibat dalam topik termasuk penjenamaan, pengurusan produk, kelestarian dan e-dagang.  

Jelasnya, ini memberi mereka pandangan mendalam tentang asas-asas yang telah membantu Fast Retailing berjaya di peringkat global. 

“Melalui program ini, pelajar juga berpeluang mendengar secara langsung daripada eksekutif dan pemimpin dalam Fast Retailing mengenai realiti perniagaan global. Terdapat juga peluang untuk pelajar meneroka Tokyo, termasuk lawatan ke Kedai Flagship Global kami,” katanya-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN