RMHC Malaysia kumpul RM450,000 untuk kanak-kanak memerlukan - Utusan Malaysia

RMHC Malaysia kumpul RM450,000 untuk kanak-kanak memerlukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) berjaya mengumpul RM450,000 untuk membantu golongan yang memerlukan di seluruh negara melalui penganjuran Kejohanan Golf Amal tahunan.

Presiden RMHC Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, kejohanan itu adalah antara usaha penting persatuan untuk membantu kanak-kanak yang memerlukan.

“Menyaksikan hasil yang positif daripada acara ini merupakan satu kepuasan yang sangat bermakna. Sokongan dan semangat yang ditunjukkan para peserta bukan sahaja mengukuhkan komitmen kami tetapi juga mendorong persatuan untuk terus maju ke hadapan.

“Ia menguatkan tujuan kami dalam mencipta masa depan yang lebih cerah untuk kanak-kanak di Malaysia, dan berharap usaha ini akan terus memberi impak yang mendalam,” katanya dalam kenyataan.

Dalam acara tersebut, RMHC Malaysia turut menyampaikan geran perubatan berjumlah RM312,462 kepada lima organisasi bukan kerajaan (NGO).

“Ini, termasuk Yayasan Institut Jantung Negara (IJN), Tabung Kebajikan Pesakit HPKK UKM, PPUMCare, Persatuan Kebajikan Pesakit Kanak-Kanak HUSM dan Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia Hospital Tunku Azizah.

“Geran-geran ini akan digunakan untuk membiayai rawatan perubatan, peralatan, dan keperluan kritikal lain untuk kanak-kanak yang memerlukan.

“Penyampaian geran perubatan ini adalah bukti komitmen kami untuk meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak yang memerlukan di Malaysia.

“Kami percaya bahawa setiap kanak-kanak berhak mendapat akses kepada penjagaan kesihatan yang berkualiti dan peluang untuk menjalani kehidupan yang sihat dan gembira,” katanya.

Selama 34 tahun, RMHC Malaysia kekal komited dengan misinya untuk membangunkan, meneroka, dan menyokong program secara langsung mampu meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak yang memerlukan di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×