PMB Tijari sedia pembiayaan kontrak kepada PKS bumiputera

PMB Tijari sedia pembiayaan kontrak kepada PKS bumiputera

NORLEZA Abu Bakar ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

PMB Tijari, sebuah cabang perkhidmatan kewangan Pelaburan MARA Berhad (PMB), sebuah pelaburan strategik dan syarikat pengurusan aset milik penuh MARA Corporation.

Cabang ini menjadi salah satu daripada perintis firma pengurusan dana di Malaysia, PMB menerokai sempadan baharu untuk secara strategik melibatkan diri dalam sektor kewangan patuh Syariah melalui PMB Tijari.

Dengan sokongan padu daripada MARA dan Pelaburan MARA Berhad sebagai pemegang saham strategik, PMB Tijari komited untuk membangun dan menyampaikan penyelesaian kewangan patuh syariah yang komprehensif untuk memenuhi keperluan dan kewangan pelanggannya objektif.

Baru-baru ini, Wartawan Utusan Malaysia, Zakkina Wati Ahmad Tarmizi menemubual Ketua Pegawai Eksekutif PMB Tijari Berhad (PMB Tijari), Norleza Abu Bakar bagi melihat peranan PMB Tijari dalam membantu usahawan bumiputera terutama dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

UTUSAN: Boleh pihak PMB Tijari berkongsi mengenai perkhidmatan yang disediakan?

NORLEZA: Kami menawarkan perkhidmatan pembiayaan patuh syariah yang paling kompetitif dan inovatif yang disesuaikan untuk memudahkan keperluan dan objektif pelanggan. Selain itu, kami menyampaikan nilai terbaik dan perkhidmatan kewangan berkualiti tinggi dalam industri.

 Apakah peranan PMB Tijari?

PMB Tijari merupakan sebuah syarikat penyedia kemudahan pembiayaan patuh syariah yang menawarkan perkhidmatan khususnya kepada syarikat-syarikat usahawan bumiputera yang memerlukan kemudahan pembiayaan bagi melaksanakan kontrak kerja dan pesanan pembelian daripada penyedia kontrak di peringkat kementerian, agensi kerajaan, syarikat berkaitan Kerajaan (GLC), syarikat multinasional (MNC) dan syarikat tersenarai di Bursa Malaysia (PLC) yang mempunyai prestasi kewangan yang kukuh.

Ketika ini, berapa jumlah pembiayaan kepada bumiputera terutama PKS?

Secara keseluruhan semenjak tahun 2014, PMB Tijari telah mengeluarkan jumlah pembiayaan melebihi RM330 juta yang memberi manfaat kepada lebih 80 syarikat bumiputera.

Dalam tempoh tiga tahun (2021 hingga 2023), PMB Tijari telah mengeluarkan jumlah pembiayaan sebanyak RM112 juta, manakala bagi tahun semasa 2024 (setakat 31 Julai) jumlah pembiayaan adalah sebanyak RM21.2 juta.

 Oleh itu, sejauh mana PMB Tijari melihat perkara di atas?

Secara dasarnya, jumlah pembiayaan yang ditawarkan menunjukkan trend peningkatan setiap tahun terutamanya semenjak tiga tahun kebelakangan ini. Kami menjangkakan penawaran jumlah pembiayaan akan terus menunjukkan prestasi peningkatan sejajar dengan pertumbuhan ekonomi dan pelaksanaan inisiatif-inisiatif dan projek baharu daripada kerajaan yang secara langsung akan meningkatkan permintaan kepada perkhidmatan pembiayaan kontrak.

Kami juga menjangkakan Belanjawan 2025 yang bakal diumumkan oleh pihak kerajaan nanti akan terus memberi tumpuan kepada projek dan inisiatif pembangunan baru yang akan memberi manfaat kepada syarikat-syarikat penerima kontrak terutamanya PKS bumiputera. 

Apakah sasaran PMB Tijari pada tahun ini?

Pada tahun ini, PMB Tijari menyasarkan pertumbuhan pengeluaran pembiayaan sebanyak sekurang-kurangnya 30 peratus berbanding yang direkodkan pada tahun 2023 sebanyak RM38 juta. 

Justeru itu, PMB Tijari mengunjurkan jumlah pembiayaan yang akan ditawarkan sebanyak lebih RM50 juta sehingga akhir tahun 2024.

Jumlah ini boleh dicapai berdasarkan kepada peningkatan bilangan permohonan pembiayaan yang semakin meningkat dari masa ke semasa. PMB Tijari juga sentiasa komited untuk memastikan proses kelulusan dan pengeluaran pembiayaan dapat dibuat dengan berkesan dalam masa yang telah ditetapkan.

 Melihat kepada pembiayaan tersebut, apakah rancangan PMB Tijari selepas ini?

PMB Tijari sentiasa berusaha mengenal pasti syarikat-syarikat bumiputera yang memerlukan bantuan pembiayaan kontrak melalui inisiatif dan perancangan aktiviti pemasaran yang dibuat secara agresif. PMB Tijari akan terus menjalankan usahasama secara strategik dengan pihak pemberi kontrak serta pertubuhan-pertubuhan dan entiti yang berkaitan dengan pembangunan usahawan bumiputera.

Pihak PMB Tijari juga telah mengenal pasti beberapa pihak pemberi kontrak baharu dan pertubuhan yang akan bekerjasama bagi membantu syarikat-syarikat bumiputera yang memerlukan bantuan ini.

Sejak tahun 2023 lagi, PMB Tijari telah menganjurkan pelbagai sesi taklimat secara berkelompok dan bersasar dengan kerjasama beberapa pertubuhan dan agensi kerajaan sama ada di luar atau di ibu pejabat PMB Tijari sendiri selain menyertai program jerayawara seperti Karnival Usahawan Desa (KUD) yang dianjurkan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta jelajah-jelajah yang lain anjuran pertubuhan dan agensi kerajaan. 

Aktiviti promosi dan pemasaran seperti ini akan diteruskan dari masa ke semasa bagi memastikan maklumat dan pendedahan berkaitan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh PMB Tijari dapat disampaikan secara berkesan kepada para usahawan bumiputera khususnya dan masyarakat umum amnya.

Adakah syarikat mengadakan kerjasama dengan pihak swasta atau lain?

PMB Tijari juga dalam perbincangan dengan beberapa pihak penyedia kontrak termasuk syarikat tersenarai, kerajaan negeri dan universiti awam untuk berkolaborasi bagi menawarkan pakej Program Pembiayaan Khas (Special Program Lending) yang direka khusus untuk syarikat-syarikat yang menerima kontrak daripada pihak tersebut.

Tumpuan akan diberikan terutamanya kepada syarikat-syarikat kontraktor berpotensi dan berkelayakan namun sukar mendapatkan pembiayaan daripada bank dan institusi kewangan berikutan syarat-syarat kelulusan yang agak ketat.

 Adakah PMB Tijari ada rancangan untuk memasuki atau menceburi sektor lain termasuk teknologi dan sebagainya?

Secara dasarnya, PMB Tijari tidak memberi fokus terhadap mana-mana sektor tertentu dalam menawarkan produk pembiayaan. 

Berdasarkan kepada rekod pengeluaran pembiayaan pada tahun ini, sektor utama adalah kesihatan, pembinaan (penyelenggaraan dan rekaan dalaman), tenaga, telekomunikasi dan teknologi.

PMB Tijari tidak menetapkan mana-mana sektor tertentu namun lebih memberi tumpuan kepada syarikat-syarikat usahawan bumiputera yang berpotensi namun sukar mendapatkan pembiayaan daripada bank dan institusi kewangan. 

 Apakah produk baharu untuk tahun ini?

PMB Tijari sedang dalam perancangan bagi menawarkan satu produk runcit namun perlu melalui beberapa proses kelulusan daripada pihak berkuasa. Jangkaan penawaran produk ini adalah pada tahun hadapan.

Dari segi pembiayaan kepada pelabur, bagaimana perancangan dan sasaran pihak PMB Tijari?

PMB Tijari akan terus menyasarkan syarikat-syarikat usahawan bumiputera yang mempunyai potensi namun berstatus “pre-bankable” di mana mereka ini mempunyai masalah untuk mendapatkan pembiayaan daripada bank dan institusi kewangan disebabkan oleh rekod dan kedudukan kewangan yang tidak mencapai keperluan dan syarat-syarat minimum yang ditetapkan.

Mereka ini dikategorikan sebagai segmen yang kurang diberikan perhatian oleh pihak pembiaya (underserved segment) biarpun telah menerima kontak daripada kerajaan, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, syarikat multinasional dan syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang mempunyai prestasi kewangan yang kukuh. 

PMB Tijari menganggap ini merupakan satu kelebihan kerana segmen ini dilihat sebagai peluang pasaran yang masih belum diterokai oleh mana-mana pembiaya kewangan (untapped market).

Ini juga merupakan satu usaha murni bagi mengelakkan syarikat-syarikat ini berurusan dengan pihak tidak bertanggungjawab seperti penipuan pinjaman (loan scammer), pemberi pinjam wang yang tidak berlesen dan ceti haram yang akhirnya akan mengundang akibat yang lebih buruk. 

Penilaian PMB Tijari lebih terarah kepada kekuatan pihak pemberi kontrak serta kepakaran dan kapasiti yang dimiliki oleh pemohon pembiayaan untuk menyelesaikan kerja-kerja kontrak yang diperolehi.

 Apakah peranan PMB Tijari untuk membantu PKS?

PMB Tijari berperanan sebagai pemudahcara untuk syarikat-syarikat bumiputera untuk memperkukuhkan kedudukan kewangan mereka sebelum layak untuk memohon pembiayaan dengan pihak bank atau institusi kewangan yang lain.

Bagi mengenalpasti syarikat-syarikat bumiputera yang berpotensi ini, PMB Tijari akan bekerjasama secara strategik dengan pihak pemberi kontrak serta agensi berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN