Perang saudara antara Honda CB350 RS dan ADV350

Perang saudara antara Honda CB350 RS dan ADV350: Retro atau moden?

CB350 RS (kanan) menampilkan gaya retro, manakala ADV350 adalah skuter adventure alaf baharu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JENTERA roda dua sekarang bukan lagi keperluan asas kepada semua, tetapi sudah menjadi terapi minda bagi mereka yang mahukan satu hobi di hujung minggu.

Motosikal gaya hidup menyemarakkan lagi industri tersebut dengan pelancaran pelbagai model dari genre yang suatu ketika dahulunya, mati.

Contohnya, Honda CB350 RS, motosikal gaya retro dan Honda ADV350, skuter adventure alaf baharu.

Penulis kali ini menunggang kedua-dua model tersebut dalam tempoh beberapa hari untuk mendapatkan input sebenar penunggang mana yang disasar oleh Boon Siew Honda sebagai pasaran utama mereka.

Retro lasak

Sejarah CB350 sebenarnya bermula sejak tahun 70-an lagi, cuma di zaman dahulu, model ini menggunakan enjin dua silinder.

Pada tahun 2020, Honda India melancarkan CB350 RS, generasi kedua yang memberikan model ikonik itu kerangka, enjin, transmisi dan elektronik yang baharu.

Enjin kini ialah unit silinder tunggal dengan sesaran 348cc dengan suapan EFI. Tenaga maksimum ialah 20.8 hp dan daya kilas pada 30 Nm, dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan lengkap dengan slipper clutch.

Dari segi elektronik, paparan meter LCD ringkas memberikan pelbagai informasi penting dan kawalan cengkaman (traction control) membantu penunggang untuk menunggang dengan lebih selamat.

Brek ialah cakera tunggal 310 milimeter (mm) di hadapan dan 240 mm di belakang, dengan angkup-angkup dari Nissin serta kawalan brek ABS dua saluran (depan dan belakang).

Gaya tunggangan memang kekal sebagai sebuah motosikal retro, cuma ramai yang tidak sangka CB350 RS mempunyai susuk yang lebih besar daripada Triumph 400. 

Sistem gantungan lebih sesuai untuk tunggangan santai, walaupun dilaraskan ke kedudukan preload paling keras (hanya unit di belakang yang boleh dilaras).

Dengan berat 179 kilogram (kg), tangki bahan api sebesar 15 liter dan pelana setinggi 800mm dari aras bumi, penulis merasa cukup selesa dan yakin untuk menunggang motosikal ini untuk perjalanan jauh.

Ia lebih sesuai untuk jalan raya di luar bandar dengan kelajuan di bawah 115 kilometer sejam km/j. Sebenarnya, untuk mencapai kelajuan setinggi itu, gear empat perlu digunakan kerana nisbah gear lima memang terlalu tinggi dan hanya sesuai untuk laluan landai tanpa sebarang dakian.

Bagi mereka yang mahu sentiasa menunggang di atas lebuh raya, mungkin akan kecewa dengan prestasi motosikal yang diimport dari India ini kerana ia lebih selesa pada kelajuan 100 hingga 110 km/j. 

Di laluan berliku, tunggangan agresif tidak begitu sesuai kerana sistem gantungan yang lembut dan juga tayar MRF tanpa tiub yang tidak cukup meyakinkan penulis.

Tetapi bagi mereka yang sudah memiliki beberapa buah motosikal, kehadiran CB350 RS ialah satu sinar segar untuk tunggangan relaks di hujung minggu.

Harga di bawah RM21,000 juga menjadikan ia lebih menarik!

Skuter pertengahan

Honda ADV 350 memang sudah lama dinantikan oleh peminat skuter Malaysia. 

Model pertengahan ini duduk di antara ADV 160 dan X-ADV 750 V2, dari segi harga dan kapasiti enjin. Saiznya juga turut mencerminkan kedudukan skuter ini di dalam keluarga ADV itu.

Seperti ADV 160, model ini menggunakan hantaran tenaga melalui sistem transmisi CVT dan tali sawat (X-ADV 750 menggunakan kotak gear DCT dan rantai) dan ia digabungkan dengan enjin 330 cc Enhanced Smart Power+ (eSP+), sebuah unit silinder tunggal sejukan cecair yang mampu memberikan tenaga setinggi 28.9 hp dan 31.9 Nm.

Roda-roda bersaiz skuter (15-inci depan, 14-inci belakang) menjadikan ADV 350 sebuah skuter yang lincah dan dipadankan dengan hantaran tenaga yang segar dan pantas, ini ialah sebuah skuter yang menyeronokkan bila ditunggang berseorangan.

Jika dipasang dengan kotak-kotak barang dan dengan seorang pembonceng di belakang, enjin itu mula terasa mengah untuk bermain-main dengan nakal.

Prestasi pengendalian juga lincah dan kerangka modern yang kukuh memastikan ia kurang meliuk ketika dipaksa turun ke selekoh-selekoh.

Seperti skuter-skuter lain, ADV 350 dilengkapkan dengan skrin depan boleh laras, pengecaj USB, sistem keyless dan tempat letak barang di bawah pelana bersaiz 48 liter.

Skuter memang berat dari motosikal dan ADV 350 ini ialah seberat 186 kg. Melainkan anda mempunyai rancangan untuk menjinjing motosikal ini, ia tidak terasa berat bila ditunggang atau ketika parkir.

Pelana cuma 795 mm dari aras bumi dan cukup untuk kebanyakan penunggang motosikal. 

Penulis kira ini bakal menjadi skuter kegemaran ramai sekiranya bajet mereka dalam lingkungan RM40,000. 

Ya, walaupun harga pelancaran ialah RM33,999, kebanyakan kedai menaikkan harganya ke lingkungan RM38,000 ke RM42,000 kerana permintaan yang tinggi dan bekalan yang kurang.

Tidak seperti kereta yang menggunakan harga kawalan demi menjaga syarikat-syarikat automotif nasional, industri motosikal mempraktikan perniagaan pasaran terbuka di mana harga ditetapkan oleh permintaan pengguna.

Bagi mereka yang sudah mengidam skuter besar tetapi dengan bajet di bawah RM50,000, ADV 350 boleh menjadi satu pilihan yang menarik kerana tidak seperti jenama-jenama dari Eropah dan China, Boon Siew Honda memastikan kos penyelenggaraan lebih mampu dan stok alat ganti yang terjamin.

Spesifikasi

Honda CB350 RS
Enjin: 348cc, silinder tunggal sejukan udara EFI
Kuasa maksimum: 20.8 hp @ 5,500 rpm
Daya kilas maksimum: 30 Nm @ 3,000 rpm
Transmisi: 5 kelajuan manual
Brek: Cakera depan belakang dengan ABS 2-saluran
Tayar: 100/90 R19 (depan) 150/70 R17 (belakang)
Keselamatan: ABS, Honda Selectable Torque Control (HSTC)
Harga: RM20,500

Honda ADV350
Enjin: 330cc silinder tunggal eSP+ SOHC 4-injap sejukan cecair
Kuasa maksimum: 28.9 hp @ 7,500 rpm
Daya kilas maksimum: 31.9 Nm @ 5,250 rpm
Transmisi: CVT dengan tali sawat
Brek: Cakera depan belakang dengan ABS 2-saluran
Tayar: 120/70 R159 (depan) 140/70 R14 (belakang)
Keselamatan: ABS, Honda Selectable Torque Control (HSTC)
Harga: RM33,999

Yang mana satu?

Jika ini akan menjadi satu-satunya motosikal anda, ADV 350 adalah pilihan terbaik kerana ia lebih praktikal dan cukup besar untuk perjalanan jauh dengan selesa.

CB350 RS pula mungkin terlalu santai untuk dinikmati oleh semua penunggang tetapi bagi penulis yang memang mahukan sebuah motosikal yang ringkas, lasak dengan gaya retro bagi tunggangan santai di laluan persekutuan serta harga yang lebih marhaen, motosikal UJM (Universal Japanese Motorcycle) ini cukup menarik.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN