Panduan pelaburan hartanah untuk anak muda

Panduan pelaburan hartanah untuk anak muda

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMBUAT keputusan untuk melibatkan diri dalam pelaburan hartanah merupakan langkah yang besar, terutamanya bagi golongan muda dan pelaburan ini memerlukan perancangan yang teliti serta kestabilan kewangan.

Anak muda yang bijak akan mengambil masa yang secukupnya untuk merancang dengan teliti, memastikan setiap langkah diambil dengan penuh pertimbangan dan berdasarkan maklumat yang tepat.

Dengan merangka strategi yang sesuai dan menetapkan matlamat kewangan yang jelas, mereka mampu membuat keputusan yang lebih bijak, mengurangkan risiko, dan meningkatkan peluang untuk mencapai kejayaan dalam pelaburan mereka. 

Setiap langkah yang diambil akan membawa kita lebih dekat kepada kejayaan yang diimpikan. Oleh itu, menurut pakar hartanah, Ahyat Ishak,  terdapat enam panduan utama yang boleh dijadikan fokus oleh golongan muda dalam membuat pelaburan hartanah.

Menyewa bukanlah pilihan yang buruk

Menyewa boleh menjadi satu perancangan yang bagus. Bagaimanapun, ia hanyalah perancangan sementara anda mengumpul kekuatan kewangan untuk memiliki hartanah sendiri. 

Golongan muda seharusnya memberikan fokus kepada kestabilan kewangan dahulu.

Rancang pelan induk (masterplan) hartanah anda

Sebelum membeli rumah, tanya diri anda beberapa soalan penting. Di mana kedudukan anda sekarang dari segi kewangan? Apakah matlamat jangka panjang anda?.

Buat perancangan yang jelas mengenai perjalanan hidup anda, termasuk kejayaan yang anda ingin capai di dunia dan akhirat. Hartanah adalah sebahagian daripada perancangan besar ini.

Tentukan tujuan utama membeli hartanah

Tentukan tujuan utama anda membeli rumah. Adakah ia untuk kediaman sendiri atau sebagai pelaburan? 

Pastikan keputusan ini sesuai dengan masterplan yang telah anda susun. 

Pilihan hartanah yang betul boleh membawa anda lebih dekat kepada matlamat kewangan dan kehidupan yang anda mahukan.

Pastikan mempunyai dana kewangan mencukupi 

Sebelum membuat keputusan untuk membeli rumah, pastikan anda telah bersedia dari segi kewangan. Ketahui ilmu pengurusan kewangan, terutamanya berkaitan dengan hartanah.

Pastikan anda mempunyai dana yang mencukupi, bukan hanya untuk membeli rumah, tetapi juga untuk menanggung kos penjagaan dan penyelenggaraannya. Anda perlu mengira kos tambahan seperti cukai, penyelenggaraan, dan lain-lain.

Mencari dan memiliki hartanah yang sesuai

Setelah anda bersedia dari segi kewangan, barulah anda boleh mula mencari hartanah yang sesuai. 

Fikirkan tentang lokasi yang strategik, jenis rumah yang sesuai dengan keperluan anda dan harga yang sepadan dengan bajet anda. Lokasi memainkan peranan besar dalam nilai hartanah jangka panjang.

Jangan bersifat gelojoh

Pembelian rumah adalah satu daripada keputusan terbesar dalam hidup. Jadi, golongan muda jangan terburu-buru atau tergesa-gesa membuat keputusan. 

Luangkan masa untuk mempertimbangkan pilihan-pilihan yang ada dengan teliti. Sebuah rumah boleh menjadi sumber kebahagiaan yang besar atau sebaliknya, sumber kesengsaraan yang tak berkesudahan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN