Orang muda tarik nafas lega, ringan beban miliki rumah 

Orang muda tarik nafas lega, ringan beban miliki rumah 

GOLONGAN muda berdepan masalah untuk mengumpul deposit untuk membeli rumah berikutan kos sara hidup yang tinggi.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOS sara hidup yang semakin meningkat sering menjadi beban berat bagi golongan muda, menghalang mereka daripada menyimpan wang yang mencukupi untuk dijadikan deposit rumah dan menyebabkan ramai terpaksa menangguhkan impian memiliki kediaman sendiri.

Inisiatif Deposit Madani bukan sahaja meringankan beban kewangan golongan belia, tetapi juga membuka peluang lebih luas dalam  memiliki rumah sendiri, sekali gus membantu mereka membina masa depan yang lebih stabil dan terjamin.

Pekerja swasta, Aimie Shazrie, berkata, inisiatif Deposit Madani merupakan satu langkah yang sangat dialu-alukan, terutama bagi golongan muda sepertinya yang sedang bergelut untuk menyimpan deposit rumah. 

“Sebelum ini, kami merasa sukar untuk menyimpan wang deposit kerana komitmen lain seperti pinjaman pendidikan dan kos sara hidup yang tinggi. 

“Oleh kerana harga hartanah yang semakin meningkat menjadikan impian memiliki rumah sendiri seperti sesuatu yang tidak tercapai, tetapi dengan bantuan ini, saya lebih yakin untuk merancang pembelian rumah pertama saya,” katanya.

Pekerja swasta, Muhammad Rohaizie Che Sakri berkata, beliau merasakan inisiatif itu amat membantu, terutama bagi yang baru beberapa tahun bekerja dan masih menyesuaikan diri dengan kehidupan dewasa. 

“Sebelum ini, saya selalu bimbang tentang kemampuan diri sendiri untuk menyimpan deposit rumah, tetapi dengan bantuan ini, saya rasa lebih yakin untuk mula mencari rumah yang sesuai. 

“Ia bukan sahaja meringankan beban kewangan, tetapi juga memberi motivasi kepada kami untuk menetap dan membina kehidupan di sini, terutama di kawasan bandar.

Menurutnya, sebelum ini ramai yang berasa ragu-ragu untuk membeli rumah kerana kos awal yang tinggi, tetapi kini mereka dapat melihat masa depan yang lebih cerah dan merancang untuk memiliki aset sendiri lebih awal daripada yang dijangkakan.

Dalam pada itu, pakar hartanah, Ahyat Ishak pula berpendapat bahawa usaha itu merupakan satu inisiatif positif kerana tidak menafikan ramai golongan belia hari ini menghadapi cabaran besar dalam mengumpul wang pendahuluan untuk membeli rumah pertama mereka. 

“Jumlah wang yang diperlukan untuk deposit sering kali menjadi penghalang kepada impian rata-rata anak muda dalam memiliki kediaman sendiri yang lazimnya perlu menyediakan 10 hingga 20 peratus daripada harga rumah sebagai deposit

“Ini belum ditambah dengan kos tambahan seperti yuran guaman dan duti setem yang boleh mencecah lebih kurang lima peratus tiga daripada harga rumah turut perlu dipertimbangkan oleh pembeli. 

“Jadi, ini adalah peluang  yang perlu diambil golongan belia untuk mendapatkan rumah pertama mereka sebagai aset jangka panjang,” katanya.

Bagaimanapun,  beliau berkata, bantuan itu tidak menjangkau semua orang dan ada yang berpendapat bahawa orang ramai, terutamanya golongan belia yang tidak mampu menyediakan wang pendahuluan mungkin tidak sepatutnya membeli rumah. 

“Oleh itu, penting bagi anak muda memahami tanggungjawab kewangan yang datang bersama pemilikan hartanah. 

“Membeli rumah bukan sekadar mendapatkan pemilikan, tetapi melibatkan komitmen jangka panjang untuk membayar kos pemeliharaan dan pembiayaan bulanan yang mungkin berterusan sepanjang hayat.

“Mereka juga perlu memahami syarat-syarat yang dikenakan oleh kerajaan dalam skim bantuan perumahan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×