KL Metro Group sasar pacu industri perhotelan negara

KL Metro Group sasar pacu industri perhotelan negara

LOW Tak Fatt ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, KL Metro Group menyasarkan untuk terus memacu industri perhotelan negara dalam pembinaan hotel mewah bertaraf lima bintang pada tahun ini.

Ia selepas syarikat  berjaya membina lima hartanah berkonsepkan resort hotel mewah di negara ini.

Pengarah Urusan KL Metro Group, Datuk Low Tak Fatt berkata, pihaknya terus komited untuk memacu perhotelan mewah yang dilihat semakin mendapat sambutan dalam kalangan pelancong.

“Saya melihat potensi perhotelan mewah ini bertambah baik, sekali gus memberi peluang pelancong di dalam dan luar negara merasai pengalaman unik menginap di hotel resort mewah.

“Selepas kejayaan Lexis, Grand Lexis dan Lexis Hibiscus di Port Dickson, Lexis Suites Penang dan juga Imperial Lexis di tengah bandar raya Kuala Lumpur kini, kami bakal menampilkan dua lagi hotel resort mewah iaitu Lexis Hibiscus 2 di Port Dickson dan Royal Lexis di Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut beliau, Imperial Lexis dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM720 juta yang telah siap sepenuhnya dan bermula operasi sejak Disember 2023, manakala Royal Lexis pula dijangka siap pada tahun 2029 dengan GDV RM900 juta.

Jelas Tak Fatt lagi, pembinaan dua hotel tersebut menarik golongan ekspatriat untuk tujuan pelaburan.

“Golongan ekspatriat melihat kewujudan hotel resort mewah ini sebagai sebuah lokasi yang baik terletak ditengah bandar raya Kuala Lumpur.

“Pertumbuhan ini dipacu oleh inisiatif kerajaan seperti kelonggaran syarat visa dari China, India. Ini membantu menarik lebih banyak pelancong ke Malaysia,” katanya.

Tak Fatt berkata, strategi kumpulan untuk memfokuskan kepada resort mewah dilengkapi kolam renang, dua katil bersaiz ‘king’, dan beberapa kemudahan seperti ‘sky deck’ dan Lokasi unit.

“Kami juga tidak risau mengenai pesaing walaupun kedua-dua hotel kami (Imperial Lexis dan Royal Lexis) menawarkan harga yang sangat tinggi berbanding hotel berhampiran iaitu sekitar RM800 hingga RM1,200 satu malam.

“Kami menarik pelanggan dengan tawaran kemudahan yang unik dan memberi kelainan kepada pelancong berbanding resort mewah lain,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN