OSK Property memperkenalkan Hana Hills, sebuah projek kondominium mewah yang menawarkan gaya hidup berinspirasikan Jepun dengan suasana Zen di Taman Nadayu Melawati dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) RM210 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif OSK Property, Ong Ghee Bin berkata, pembangunan itu menampilkan hanya 297 unit kediaman yang berkepadatan rendah di atas tanah pajakan seluas 1.06 hektar.
“Unit-unit tersebut bermula dengan harga jualan dari RM642,000 hingga RM850,000 dan telah dilancarkan pada Julai lalu. Sehingga kini, sebanyak 40 peratus unit kediaman telah terjual.
“Hana Hills, yang dibangunkan oleh OSK Property, menyediakan pelbagai jenis unit dengan pilihan tiga hingga empat bilik tidur dan keluasan antara 958 kaki persegi hingga 1,324 kaki persegi.
“Setiap unit direka dengan ruang yang luas dan dilengkapi balkoni, membolehkan penghuni menikmati pemandangan indah dan udara segar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, Hana Hills terletak pada ketinggian 80 meter dari paras laut dengan pemandangan indah Permatang Kuartza Genting Klang akan menarik minat pembeli yang mahukan kehidupan bandar tetapi bersebelahan dengan alam semula jadi.
“Dengan konsep reka bentuk berinspirasikan Jepun, pemandangan semula jadi dan akses mudah ke kemudahan utama, Hana Hills dijangka menjadi mercu tanda baharu yang menarik di kawasan kejiranan Taman Melawati.
“Kami ingin memastikan penghuni merasai suasana tenang dengan elemen Zen sambil menikmati kemudahan kelas pertama yang direka untuk semua generasi.
“Kemudahan kami meliputi taman permainan, kolam renang infiniti, bilik karaoke, ruang kerja bersama dan gimnasium wanita di atas bumbung, gimnasium langit, astaka teh jepun, taman refleksologi, ruang glamping dan banyak lagi. Penghuni juga dapat menikmati dek pemerhatian bintang untuk pengalaman yang eksklusif dan mendamaikan,” katanya.
Tambahnya, lokasi strategik Hana Hills memberikan akses mudah ke lebuh raya utama seperti Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE).
“Selain itu, ia juga terletak berdekatan dengan beberapa stesen Aliran Transit Ringan (LRT) seperti Taman Melati dan Wangsa Maju, menjadikannya pilihan kediaman yang ideal untuk mereka yang bekerja di sekitar bandar Kuala Lumpur.
“Penghuni Hana Hills juga dapat menikmati pelbagai kemudahan awam dan pusat membeli-belah berhampiran seperti Melawati Mall dan KL East Mall, serta hospital swasta terkemuka seperti Columbia Asia Setapak dan KPJ Ampang Puteri.
“Bagi sesiapa yang berminat untuk mengetahui maklumat lanjut, boleh melayari laman web kami di www.hanahills.com.my,” katanya.-UTUSAN










