PETALING JAYA: Country Garden Group memperkukuh komitmennya terhadap sumber tempatan dengan menubuhkan bahagian Malaysia.
Menurut Country Garden, bahagian khusus dalam operasi kumpulan itu akan memantau semua projeknya di seluruh Malaysia.
“Langkah strategik itu dilaksanakan ketika Forest City, yang menjadi projek utama di bawah Country Garden terus mendapat manfaat daripada semakan semula dasar program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H)
“Forest City juga meraih manfaat berikutan lonjakan statusnya kepada pulau bebas cukai, selain dipacu insentif pelaburan baharu dalam Zon Kewangan Khas (SFZ),” katanya dalam kenyataan.
Jelas Country Garden, tumpuan kumpulan adalah memastikan sumber dioptimumkan, memacu pertumbuhan perniagaan tempatan serta pembangunan pesat di Malaysia dan serta kawasan utama Forest City.
“Ia juga akan mengawasi semua projek Country Garden dengan perancangan strategik, penyelarasan dan pengurusannya.
“Inisiatif terbabit mencerminkan strategi Country Garden meningkatkan integrasi sumber berkualiti tinggi dan memperkukuh struktur pasukannya di Malaysia bagi lebih mengukuhkan peranannya dalam memajukan Forest City sebagai projek utama.
“Kerjasama Country Garden dengan kerajaan persekutuan, kerajaan Johor dan Johor Esplanade Danga 88 Sdn. Bhd.akan menjadi platform penting dalam memacu pembangunan SFZ,” katanya.-UTUSAN










