BERMULA sebagai aktiviti untuk mengisi masa lapang kerana bosan menjadi suri rumah, siapa sangka perniagaan yang dilakukan itu mampu memberikan keuntungan yang lumayan sehingga mencecah jutaan ringgit.
Pengasas Avenys Malaysia, Aleeya Zainal, 35, mendapat ilham untuk memulakan perniagaan itu setelah sering mendapat pertanyaan berkenaan penjagaan kulit wajahnya ketika mula berniaga sambal secara kecil-kecilan.
“Sebelum memulakan perniagaan kosmetik, saya mula dengan berniaga sambal dengan menyewa tapak-tapak berniaga di sekitar rumah.
“Apabila bertemu pelanggan, ramai yang mula bertanya berkenaan penjagaan kulit wajah. Dari situ, suami mula mencadangkan kepada saya untuk menceburi bisnes kosmetik untuk berkongsi penjagaan wajah saya bersama orang ramai.
Bermula dari situ, muncul jenama produk kecantikkan, Avenys yang memulakan operasinya secara rasmi pada 2016,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Graduan University of Auckland, New Zealand itu turut berkongsi bahawa berbekalkan modal RM500 hasil menjual sambal, dia menjadikannya sebagai modal dalam menghasilkan kosmetik itu.
“Berbekalkan wang keuntungan daripada menjual sambal dan sedikit wang simpanan hasil daripada nafkah suami, saya telah menjadikan modal permulaan untuk Avenys.
“Hasil daripada itu, saya berjaya keluarkan tiga produk pertama keluaran Avenys iaitu pencuci muka, esen dan juga pelembab,” kongsinya.
Aleeya berkata, setiap perniagaan mesti ada turun dan naik termasuklah dirinya yang pernah hampir dihempap kegagalan.
“Dalam perniagaan semestinya akan ada cabaran yang tersendiri seperti saya dahulu hampir tidak mampu untuk mencatatkan keuntungan kerana tidak mampu untuk fokus kepada perniagaan kerana menjaga ibu yang sakit.
“Pada waktu itu, keuntungan yang dapat daripada hasil perniagaan hanya mampu untuk membayar gaji pekerja sahaja.
“Namun, saya bersyukur kerana mendapat suami yang sentiasa memberi semangat dan dorongan kepada saya untuk terus melangkah dalam perniagaan ini,” katanya.
Menurut Aleeya, selepas daripada perintah kawalan pergerakan (PKP), Avenys mula mendapat perhatian dan semakin berkembang sehingga sekarang.
“Sekarang kami mempunyai lebih daripada 51 jenis produk yang terdiri daripada produk penjagaan dalaman dan luaran.
“Produk kami bukan sahaja boleh didapati secara atas talian dan stokis tetapi juga boleh didapati di cawangan-cawangan yang berhampiran.
“Setakat ini, kami telah berjaya membuka 16 cawangan Avenys di sekitar pusat membeli-belah di Selangor dan Kuala Lumpur,” ujarnya.
Bercakap mengenai impian, ibu kepada tiga anak itu memasang impian untuk meluaskan lagi pasaran produk kecantikannya ke peringkat seterusnya.-UTUSAN










