Belanjawan 2025: Pertimbang peruntukan tambahan RM5 juta untuk peniaga

Belanjawan 2025: Pertimbang peruntukan tambahan RM5 juta untuk peniaga

PENIAGA perlukan peruntukan tambahan untuk pendidikan sistem khas gajet dan kaedah tanpa tunai untuk meningkatkan pendedahan kepada teknologi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia gesa kerajaan mempertimbangkan peruntukan tambahan sebanyak RM5 juta untuk mendidik peniaga bagi kaedah sistem khas gajet dan pembayaran tanpa tunai dalam Belanjawan 2025 yang bakal dibentang 18 Oktober ini.

Presidennya, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, peruntukan itu bagi memberi pendedahan kepada peniaga, penjaja dan usahawan menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai selari dengan gaya hidup masa kini kerana ia mudah, selamat dan pantas digunakan dalam segala urusan harian termasuk perniagaan.

“Ketika ini, kebanyakan perniagaan menggunakan konsep tanpa tunai. Namun, adakah mereka (peniaga) ini mampu menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai ini sepenuhnya?

“Sehubungan itu, kami berhasrat agar kerajaan mempertimbangkan peruntukan tambahan untuk mendidik peniaga agar perusahaan tempatan bergerak seiring dengan teknologi semasa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurut beliau, peruntukan RM5 juta itu akan dipecahkan di mana RM2.5 juta untuk tujuan pendidikan kepada peniaga, manakala selebihnya akan digunakan untuk satu sistem gajet khas kepada peniaga.

“Kita sudah ada kertas kerja mengenai sistem gajet tersebut dan berharap kerajaan dapat mempertimbang peruntukan ini bagi membantu peniaga menguruskan perniagaan dengan lebih mudah dan efektif,” katanya.

Setakat ini, terdapat lebih 1.5 juta penjaja dan peniaga di seluruh negara.

Dalam pada itu, Rosli turut berharap kerajaan mengekalkan peruntukan sedia ada sebanyak RM44 bilion pada belanjawan akan datang.

“Pada saya, peruntukan terdahulu (Belanjawan 2024) mencukupi namun perlu ada peruntukan lain juga untuk memastikan peniaga mendapat akses berkaitan teknologi baharu dan sebagainya,” katanya.

Jelas beliau, pihak persatuan turut berhasrat membantu lebih 5,000 peniaga golongan muda yang tidak berpeluang mendapat pekerjaan untuk menceburi bidang perniagaan.

“Kami mahu lebih ramai golongan muda menceburi bidang perniagaan dan membantu mereka pergi lebih jauh,” katanya.

Pada Belanjawan 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sebanyak RM44 bilion peruntukan bagi pinjaman dan jaminan pembiayaan untuk manfaat usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Beliau berkata, usahawan PMKS disediakan kemudahan pinjaman kecil dengan dana keseluruhan RM2.4 bilion di bawah agensi seperti Bank Negara Malaysia (BNM),Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).

Selain itu, RM1.4 bilion di bawah pinjaman mikro BSN adalah untuk membantu menyediakan modal perniagaan, pembelian peralatan, premis serta pemasaran kepada penjaja dan pengusaha kecil- kecilan.

Sebanyak RM330 juta di bawah TEKUN juga adalah untuk menyediakan kemudahan pembiayaan kepada peniaga kecil seperti pengusaha batik dan kraf, usahawan Orang Asli serta Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Selain itu, RM30 juta daripadanya disediakan khusus untuk membiayai perniagaan diusahakan masyarakat India dan daripada jumlah keseluruhan ini, sebanyak RM720 juta dikhaskan untuk menggalakkan golongan wanita dan belia menceburi bidang perniagaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN