Bank Rakyat peruntuk RM115,000 untuk CSR sempena ulang tahun ke-70 - Utusan Malaysia

Bank Rakyat peruntuk RM115,000 untuk CSR sempena ulang tahun ke-70

Nizam Sani (lima dari kiri) pada majlis perasmian Taman Permainan Nuri Bank Rakyat di Taman Tasik Taiping, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Bank Rakyat memperuntukkan RM115,000 bagi inisiatif dan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sempena sambutan ulang tahun ke-70 tahun ini yang dilaksanakan bermula September sehingga November ini.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasinya, Nizam Sani berkata, Bank Rakyat bakal menyambut ulang tahun ke-70 pada 28 September ini dan peruntukan khas tersebut meliputi golongan fokus yang berbeza dari program sebelumnya.

Katanya, antara program yang dilaksanakan adalah Citra Kasih iaitu program sumbangan keseluruhan 70 kerusi roda kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Lembaga Tabung Haji.

“Selain itu, kami juga mengadakan Kebun Nuri Nutrisi dengan pelajar di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kota Kinabalu, Sabah.

“Kami juga membaikpulih dan melancarkan Taman Permainan Kelab Nuri di Taman Tasik Taiping dan seterusnya adalah program Semarak 70 iaitu kuliah maghrib, bacaan yasin dan sumbangan zakat kepada 70 masjid dan surau.

“Oleh itu, sumbangan yang dibuat ini melibatkan pelbagai golongan dan memberi manfaat kepada banyak pihak. Peruntukkan ini juga lebih tinggi dari peruntukkan CSR yang sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Bank Rakyat Bersama Media di sini, kelmarin.

Pada majlis berbeza, Nizam telah merasmikan Taman Permainan Nuri Bank Rakyat di Taman Tasik Taiping yang telah ditambah baik sebagai sebahagian daripada CSR kumpulan perbankan tersebut.

Katanya, taman permainan tersebut merupakan satu daripada taman permainan yang dibangunkan oleh Bank Rakyat pada tahun 2012, selain di Alor Setar, Kedah.

“Setiap tiga atau empat tahun kita akan buat penambahbaikan. Ini kerana faktor cuaca seperti hujan dan panas menyebabkan ada bahagian permainan yang berkarat serta pecah seterusnya tidak selamat untuk anak-anak bermain di sini,” ujarnya.

Tambahnya, usaha penambahbaikan fasiliti itu bukan sahaja menawarkan ruang riadah yang selamat dan menyeronokkan untuk kanak-kanak tetapi juga merupakan simbolik bagi generasi muda untuk membesar dalam suasana yang sihat dan positif. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×