PETALING JAYA: Akta Pembaharuan Semula Bandar akan memberikan panduan yang lebih teratur dalam usaha pembaharuan untuk membangunkan semula kawasan bandar.
Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Malaysia, Datuk Ir. Ho Hon Sang berkata, beliau menyifatkan langkah pelaksanaan akta itu tepat pada masanya.
“Kami percaya ini akan memberikan nafas baharu kepada landskap hartanah di bandar-bandar Malaysia, terutamanya di kawasan yang mempunyai banyak bangunan lama yang usang,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Hon Sang, salah satu isu utama yang akan diatasi oleh akta ini adalah memastikan keselamatan bangunan kediaman strata yang dibina beberapa dekad lalu.
“Disebabkan usianya, bangunan yang usang bukanlah gambaran estetik yang kita mahu di bandar-bandar utama kita.
“Tetapi yang paling penting, bangunan-bangunan ini mungkin menyimpan bahaya tersembunyi yang tidak diketahui oleh penduduk dan memperbaharuinya adalah langkah yang paling wajar untuk memastikan tiada perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.
Beliau juga menambah, ini adalah perjalanan semula jadi bagi bangunan kerana seperti kebanyakan perkara, bangunan tidak dimaksudkan untuk bertahan selamanya dan hanya pembaikan yang boleh dilakukan sebelum pembaharuan diperlukan.
“Walaupun butiran mekanisme pelaksanaannya masih dalam perbincangan, kami berharap suara rakyat tidak akan diketepikan dalam keputusan yang melibatkan tempat tinggal dan rumah mereka,” katanya.
Beliau juga menyatakan, dengan akta baharu ini, Rehda berharap Malaysia dan bandar-bandar di dalamnya akan terus memperbaiki kedudukan antarabangsa mereka sebagai lokasi bertaraf dunia yang mampan, setanding dengan bandar-bandar utama di seluruh dunia.
“Rehda akan terus menggalakkan ahli-ahlinya untuk meneruskan peranan pembinaan negara dengan menyediakan rumah yang berkualiti dan mampu milik untuk rakyat secara tepat pada masanya dan mampan,” katanya.
Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming memaklumkan, Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) telah bersetuju untuk menggubal Akta Pembaharuan Semula Bandar yang akan mengutamakan hak pemilik asal dan memastikan kemampanan dalam pembangunan bandar.
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat MNKT ke-83 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan turut dihadiri ahli Kabinet, wakil-wakil daripada pelbagai kementerian dan kerajaan negeri.
Kor Ming berkata, akta itu perlu digubal bagi menangani risiko keusangan dan kemerosotan kawasan bandar. – UTUSAN










