PETALING JAYA: Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) mencatatkan pertumbuhan untung bersih sebanyak 24 peratus kepada RM777 juta pada suku kedua tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024, berbanding RM628 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Menurut pemfailan di Bursa Malaysia, hasil meningkat kepada RM7.73 bilion daripada RM7.11 bilion tahun sebelum, terutamanya didorong oleh volum jualan yang lebih tinggi dalam segmen baja dan metanol kumpulan dan sumbangan yang lebih tinggi daripada segmen kimia khusus.
Bagi tempoh enam bulan pertama, PCG merekodkan untung bersih sebanyak RM1.45 bilion, lebih tinggi berbanding RM1.16 bilion yang dilaporkan pada tempoh sama tahun lalu, manakala pendapatan pada RM15.2 bilion daripada RM14.7 bilion tahun sebelumnya.
PCG mengisytiharkan dividen interim pertamanya sebanyak 10 sen sesaham, membabitkan pengagihan RM800 juta dan perlu dibayar pada 12 September 2024.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mazuin Ismail berkata, landskap perniagaan menjadi lebih kompleks dan industri bahan kimia merasakan kesan ketidaktentuan yang meningkat dan syarikat perlu berdepan dengan tempoh lebihan kapasiti dan permintaan yang rendah.
Katanya, PCG teguh dalam melaksanakan inisiatif kecemerlangan perniagaan untuk mengekalkan kecekapan dan keuntungan sambil memastikan strategi kesinambungan masa hadapan yang merangkumi pelan penyahkarbonan, masih kekal mengikut jadual yang dirancang.
“Melangkah ke separuh kedua tahun ini, dalam operasi kami mempunyai beberapa aktiviti pemulihan dan penyelenggaraan loji yang dirancang iaitu tumpuan segera kami adalah untuk melaksanakan aktiviti ini dengan selamat.
“Selain itu, kami juga menantikan operasi komersial kilang usaha sama kami, PCG PCC Oxyalkylates di Kerteh, Terengganu,” katanya.
Mazuin berkata, pihaknya menjangkakan segmen olefin dan derivatif akan berkurangan dalam beberapa bulan akan datang apabila bekalan pulangan susulan penutupan serantau berakhir manakala permintaan hiliran kekal lemah.
“Urea diramalkan akan kukuh apabila aplikasi pertanian meningkat sementara ketersediaan bekalan terus membebankan metanol,” ujarnya.
Tambahnya, segmen kimia khusus dijangka menyaksikan pemulihan sederhana pada separuh kedua tahun ini kerana keadaan pasaran global kekal tidak menentu dengan ketegangan geopolitik yang berterusan dan pemulihan perlahan dalam permintaan pasaran.
“Ketidaktentuan dijangka berterusan dalam sektor bangunan dan pembinaan, manakala sektor automotif menunjukkan petunjuk permintaan tidak berubah pada separuh kedua 2024, walaupun peningkatan terpilih dalam sektor barangan pengguna,” jelasnya.-UTUSAN










