Ringgit menambah nilai 2.5 peratus pada Julai - Utusan Malaysia

Ringgit menambah nilai 2.5 peratus pada Julai

ringgit
GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit menambah nilai sebanyak 2.5 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Julai 2024, selaras dengan kebanyakan mata wang serantau.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam sorotan Julai 2024 berkata, Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Korea Selatan menunjukkan kenaikan purata satu peratus pada Julai lalu.

Ujarnya, kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (SKM) 10 tahun menurun sebanyak 14 mata asas (purata serantau: -25 mata asas) seiring dengan penurunan kadar hasil bon AS, manakala FBM KLCI didagangkan 2.2 peratus lebih tinggi berbanding 3.2 peratus purata serantau.

“Para pegawai Rizab Persekutuan (Fed) AS menyuarakan keyakinan bahawa bacaan terkini menunjukkan kemajuan menuju inflasi sasaran.

“Hal ini menandakan kemungkinan pengurangan kadar dasar seawal September 2024.

“Kesannya, peserta pasaran kewangan telah menilai semula jangkaan mereka terhadap kadar dasar AS kepada dua hingga tiga pemotongan kadar (Jun 2024: satu hingga dua pemotongan),” demikian menurut kenyataan.

Bank pusat berkata, pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan kekal pada 5.5 peratus pada akhir Julai 2024, sama seperti bulan sebelumnya berikutan pertumbuhan yang lebih tinggi bagi pinjaman terkumpul (6.2 peratus; Jun 2024: 6 peratus) manakala pertumbuhan bon korporat terkumpul adalah lebih sederhana (3.0 peratus; Jun 2024: 3.4 peratus).

“Bagi perniagaan, pertumbuhan pinjaman terkumpul adalah pada 6.0 peratus (Jun 2024: 5.7 peratus), didorong terutamanya oleh pertumbuhan lebih tinggi bagi pinjaman modal kerja, khususnya merentas sektor perkilangan dan perkhidmatan. Pertumbuhan pinjaman berkaitan pelaburan terus menggalakkan.

“Pertumbuhan pinjaman isi rumah kekal pada 6.2 peratus berikutan pengembangan stabil dalam pinjaman bagi pembelian rumah dan kereta. Permohonan pinjaman juga lebih tinggi, mencerminkan permintaan pembiayaan dalam kalangan peminjam isi rumah,” ujarnya.

Sementara itu, BNM menjelaskan, sistem perbankan terus mencatatkan penampan mudah tunai yang kukuh dengan agregat Nisbah Perlindungan Mudah Tunai sebanyak
150.8 peratus (Jun 2024: 155.1 peratus).

“Agregat nisbah pinjaman kepada dana secara amnya kekal stabil pada 83 peratus berbanding 82.8 peratus bulan sbeelumnya.

“Daya tahan sistem perbankan terus disokong oleh kualiti aset yang utuh apabila nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih keseluruhan kekal stabil masing-masing pada 1.6 peratus dan 1.0 peratus.

“Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) terus berada pada paras berhemat sebanyak 124.5 peratus daripada pinjaman terjejas (Jun 2024: 124.1 peratus), dengan jumlah peruntukan mencakupi 1.4 peratus daripada jumlah pinjaman,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN