Pelan hala tuju penyahkarbon penerbangan dilancar September ini

Pelan hala tuju penyahkarbon penerbangan dilancar September ini – Anthony

ANTHONY Loke (tengah) ketika melancarkan Bulan Kemerdekaan Kementerian Pengangkutan Tahun 2024 di Putrajaya di sini, hari ini.-UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) akan melancarkan pelan hala tuju penyahkarbon penerbangan pada September ini.

Menterinya, Anthony Loke berkata, pelan hala tuju itu akan bertindak sebagai garis panduan dasar ke arah penyahkarbonan melibatkan syarikat penerbangan dan pengendali lapangan terbang selain memanfaatkan penggunaan bahan api penerbangan mampan (SAF).

Beliau berkata, Jemaah Menteri telah mengesahkan dan meluluskan pelan hala tuju berkenaan untuk dilaksanakan.

“Pelan hala tuju itu dirangka berdasarkan input daripada pihak berkepentingan syarikat penerbangan dan industri penerbangan,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis perhimpunan bulanan kementerian di sini, hari ini.

SAF ialah bahan api cecair yang kini digunakan dalam penerbangan komersial yang mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2) sehingga 80 peratus.

Loke berkata, pelan tindakan itu juga sejajar dengan dasar pembangunan mampan seperti Sustainable Development Goals (SDGs), Dasar Tenaga Negara 2040, National Energy Transition Roadmap (NETR) dan sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Pada masa sama, Loke berkata, pihaknya juga berhasrat mengemukakan beberapa cadangan baharu kepada Kementerian Kewangan untuk pertimbangan dimasukkan dalam Belanjawan 2025.

Katanya inisiatif-inisiatif tersebut dijangka akan dapat menstruktur semula ekonomi melalui pemerkasaan modal insan dalam sektor pengangkutan awam yang secara langsungnya akan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

“Antara inisiatif dirancang adalah pembangunan berorientasikan transit (TOD) dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Kementerian melalui agensi pengangkutan rel sedang membangunkan 48,000 unit rumah dan bangunan komersial di seluruh negara.

“Jelasnya, pembangunan sekitar hab pengangkutan awam seperti perumahan, sekolah, tempat bekerja serta tempat mendapatkan keperluan harian akan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam kerana destinasi yang dituju adalah berdekatan.

“Antara impak TOD yang akan dirasai adalah kesejahteraan hidup melalui pengurangan tempoh masa bergerak serta pengurangan kesesakan lalu lintas di jalan raya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×