PETALING JAYA: Seluruh pasaran saham Asia menjunam dalam sesi dagangan semalam, impak daripada kebimbangan bahawa Amerika Syarikat (AS) menuju kemelesetan ekonomi sekali gus mencetuskan gelombang penghindaran risiko.
Keadaan tersebut mengakibatkan kerugian bernilai berbilion ringgit di pasaran saham Asia, apabila pelabur memulakan jualan panik global.
Sentimen negatif itu menjejaskan semua rakan serantau, dengan kejatuhan mendadak dilihat dalam Indeks Nikkei Jepun, yang jatuh lebih 12 peratus atau 4,400 mata kepada 31,458.42, kejatuhan terbesar dalam sehari sejak Oktober 1987.
Tidak terkecuali, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 74.57 mata atau 4.62 peratus kepada 1,536.48 daripada 1,611.05 pada penutup Jumaat.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 1,658 berbanding 83, dengan 131 kaunter tidak berubah, 533 tidak diniagakan dan lapan digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 9.26 bilion unit bernilai RM7.97 bilion daripada 5.17 bilion unit bernilai RM3.98 bilion pada Jumaat.
KADAR FAEDAH
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, para pengurus dana sudah mula menjual Nota Perbendaharaan AS dengan kini kadar faedah telah menurun di bawah 4.0 peratus untuk tiga dan lima tahun.
Menurut beliau, masing-masing akan berada pada 3.556 peratus dan 3.621 peratus yang memberikan petunjuk penurunan kadar untuk jangka panjang.
“Indeks dolar AS (DXY) pula yang menjadi kayu pengukur kekuatan dolar juga menyusut kepada 102 mata daripada 104 mata hanya dalam lima hari sahaja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurut Aimi Zulhazmi, prestasi bursa yang menurun itu selari dengan keseluruhan pasaran ekuiti seluruh dunia, di mana niaga hadapan Dow Jones jatuh 1.2 peratus, niaga hadapan S&P 500 menjunam 3.0 peratus dan Nasdaq 100 pula menjunam 5.65 peratus.
“Jenama besar seperti Apple, Nvidia, Tesla dan banyak lagi ditunjukkan dengan ketara lebih rendah.
“Sementara itu, minyak mentah juga jatuh satu peratus dan Bitcoin menjunam kepada AS$52,000 (RM230,029.74), mencecah paras terendah sejak akhir Februari. Harga Bitcoin turun daripada AS$62,573.55 (RM276,813.60) pada Jumaat lepas,” katanya.
PASARAN
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, kejatuhan itu sememangnya berpunca daripada data pasaran buruh di AS Jumat lepas, yang menyaksikan kenaikan dalam pengangguran ke paras 4.3 peratus pada Julai dan angka ini melebihi purata jangka panjang iaitu 4.2 peratus.
“Ini bererti pasaran buruh di AS berhadapan dalam situasi yang boleh katakan sebagai lebihan penawaran buruh dalam pasaran dan ini memberi kesan kepada tahap tangga gaji dan juga kekuatan perbelanjaan penggunaan dikaitkan dengan isu rumah.
“Penggunaan isu rumah ini mewakili sekitar 70 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) AS. Jadi, data ini sebenarnya menunjukkan kebimbangan bahawa adakah AS akan menghadapi kemorosotan ekonomi dan menjadi persoalan.
“Ini kerana merupakan satu kebimbangan yang saya kira ada asasnya kerana dasar monetari AS ataupun dasar monetari yang ditakdir oleh Rizab Persekutuan AS bersifat restriktif untuk tempoh jangka masanya yang agak lama.
“Ia bermula dengan kenaikan pada Mac 2022 sehinggalah Julai pada tahun lalu ke paras 5.5 peratus dan ia kekal hingga sekarang,” katanya.
Sementara itu, Malacca Securities Sdn. Bhd. dalam nota penyelidikan berkata, terdapat banyak tekanan jualan dijangkakan di pasaran tempatan dan menjejaskan sektor teknologi berikutan prestasi lemah pasaran saham AS.
“Bagaimanapun, kami berpandangan fasa pengumpulan adalah dijangkakan untuk sektor pembinaan, bahan binaan, hartanah dan utiliti dalam keadaan pemangkin infrastruktur dan pusat data menjelang musim pelaporan prestasi kewangan pendapatan.
“Peniaga mungkin memburu saham berkaitan emas dengan menjangkakan persekitaran kitaran menurun kadar faedah dan segmen kewangan mungkin menarik dana asing pada masa ini,” katanya. –UTUSAN










