PETALING JAYA: Pemilik rumah median di Malaysia menyaksikan pertumbuhan nilai sebanyak sebanyak RM136,716 yang bersamaan 42 peratus dalam tempoh 10 tahun pada 2023, menurut data analisis komprehensif Juwai IQI.
Pengasas Bersama Juwai IQI dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kashif Ansari berkata, harga median meningkat daripada RM330,427 pada 2014 sehingga RM467,143 pada 2023.
Katanya, rakyat Malaysia yang memiliki rumah sendiri telah menjadi lebih kaya dengan ketara melalui pertumbuhan harga rumah tersebut.
“Pemilik rumah biasa Malaysia melihat kekayaan peribadi mereka melambung tinggi bersamaan dengan lebih daripada empat tahun gaji hanya kerana rumah mereka meningkat nilainya. Jabatan Perangkaan menambat median gaji rasmi tahunan pada RM32,000.
“Data menunjukkan bahawa, jika anda mampu memiliki rumah sendiri secara mampan, ia boleh menjadi satu daripada laluan paling mudah dan selamat untuk mencapai keselamatan kewangan.
“Semua pengiraan ini adalah berdasarkan data harga rumah median daripada Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC),” katanya dalam kenyataan.
Kashif berkata, negeri dengan jumlah kenaikan harga terbesar dalam tempoh 10 tahun hingga 2023 adalah Selangor dengan pemilik menyaksikan nilai rumah mereka melonjak sebanyak RM169,091.
Beliau berkata, ini diikuti dengan Sarawak dengan harga rumah median meningkat sebanyak RM152,016.
“Negeri ketiga mendapat keuntungan terbesar adalah Johor dengan kenaikan harga sebanyak RM147,363. Bagi Kuala Lumpur, harga naik RM145,523 antara 2014 dan 2023 dan di Negeri Sembilan harga rumah melonjak RM128,943.
“Kelantan pula mempunyai harga permulaan lebih rendah, tetapi harga rumah mempunyai peratusan keuntungan yang lebih besar iaitu melonjak sebanyak 70 peratus dalam tempoh 10 tahun sebanyak RM105,537,” ujarnya.
Tambahnya, Melaka, Negeri Sembilan dan Kedah memberi ganjaran kepada pemilik rumah dengan keuntungan 69 peratus dalam nilai rumah, manakala Perak, Johor dan Perlis menyaksikan peningkatan nilai rumah lebih 50 peratus.
Selain itu, beliau berkata, pemilik rumah yang memegang gadai janji mendapat ganjaran yang lebih baik.
“Walaupun median harga hartanah Malaysia meningkat sebanyak 42 peratus, pemegang gadai janji memperoleh pulangan yang lebih besar atau 66 peratus daripada wang yang mereka letakkan ke rumah mereka selama 10 tahun,” jelasnya.-UTUSAN










