Nilai kerja pembinaan RM38.9 bilion pada suku kedua - Utusan Malaysia

Nilai kerja pembinaan RM38.9 bilion pada suku kedua

SEKTOR pembinaan mencatatkan peningkatan 20.2 peratus dengan nilai kerja berjumlah RM38.9 bilion pada suku kedua 2024.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor pembinaan mencatatkan peningkatan 20.2 peratus dengan nilai kerja berjumlah RM38.9 bilion pada suku kedua 2024, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu adalah selepas pertumbuhan 14.2 peratus pada suku sebelumnya.

“Pertumbuhan ini didorong oleh prestasi cemerlang dalam subsektor kejuruteraan awam dan bangunan kediaman, masing-masing mencatatkan peningkatan dua digit ketara sebanyak 25.2 peratus dan 19.7 peratus.

“Selain itu, subsektor aktiviti pertukangan khas turut mencatatkan pengembangan kukuh sebanyak 44.9 peratus berbanding 11.8 peratus suku pertama. Subsektor bangunan bukan kediaman juga mengalami peningkatan dengan pertumbuhan sebanyak 7.2 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Jelas Mohd. Uzir, sebanyak RM15.2 bilion atau 39 peratus disumbangkan oleh subsektor kejuruteraan awam, terutamanya dalam aktiviti pembinaan jalan raya dan landasan kereta api (RM7.5 bilion) serta projek utiliti (RM5.6 bilion).

“Sementara itu, nilai kerja bagi bangunan bukan kediaman dan bangunan kediaman masing-masing menyumbang RM10.6 bilion (27.4 peratus) dan RM8.8 bilion (22.6 peratus).

“Aktiviti pertukangan khas mencatatkan nilai RM4.3 bilion (11.0 peratus), terutamanya dalam aktiviti pemasangan elektrik serta pemasangan sistem paip, pemanasan dan pendingin udara, yang kedua-duanya mencatatkan nilai RM1.1 bilion.

“Sektor swasta kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan dalam sektor pembinaan, menyumbang RM23.6 bilion atau 60.8 peratus daripada jumlah keseluruhan serta mengekalkan momentum dua digit dengan pertumbuhan sebanyak 15.8 peratus (ST1 2024: 10.1 peratus).

“Ini didorong oleh prestasi kukuh dalam subsektor bangunan kediaman (19.9 peratus) dan aktiviti pertukangan khas (46.0 peratus). Sektor awam pula mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 27.8 peratus (ST1 2024: 20.6 peratus) kepada RM15.3 bilion (sumbangan: 39.2 peratus), dipacu, terutamanya subsektor kejuruteraan awam sebanyak 23.8 peratus,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai prestasi sektor pembinaan mengikut negeri pada suku kedua 2024, beliau menyatakan hampir 59 peratus daripada nilai kerja tertumpu di Selangor, Johor, Sarawak dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan).

“Nilai pembinaan di Selangor berjumlah RM8.7 bilion atau 22.4 peratus, disumbangkan oleh subsektor kejuruteraan awam (RM3.0 bilion), diikuti oleh bangunan kediaman (RM2.5 bilion) dan bangunan bukan kediaman (RM2.3 bilion).

“Johor berada di tempat kedua dengan nilai RM5.4 bilion atau 13.8 peratus, terutamanya dalam subsektor kejuruteraan awam (RM1.9 bilion) dan bangunan bukan kediaman (RM1.8 bilion).

“Nilai kerja di Sarawak mencatatkan RM4.5 bilion (11.7 peratus), manakala Wilayah Persekutuan mencatatkan RM4.3 bilion (11.2 peratus),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN