NFP dijangka lonjak strategi perangi penipuan dalam talian

NFP dijangka lonjak strategi negara bagi perangi penipuan dalam talian

AMIR Hamzah Azizan (depan, lima dari kiri) bersama Abdul Rasheed Ghaffour (depan, enam dari kiri) pada perasmian NFP di Sasana Kijang, di sini, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Portal Fraud Kebangsaan (NFP) dijangka mampu melonjakkan strategi negara bagi memerangi penipuan dalam talian dengan mengubah proses Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) yang sebelum ini dikendalikan secara manual dan banyak memakan masa. 

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, portal peneraju platform automasi di rantau ini tersebut menyediakan akses selamat kepada pangkalan data penting untuk menyokong pencegahan penipuan serta memberi ahli NSRC keupayaan dinamik untuk mengesan dan mencegah aktiviti penipuan. 

“Portal ini akan mengintegrasikan data transaksi kewangan dari pelbagai sumber untuk mengesan transaksi mencurigakan secara automatik dan memudahkan pengesahan oleh institusi terlibat. 

“Automasi ini mempercepatkan tindakan, mengurangkan masa pengesanan penipuan dan mencegah kerugian lanjut,” katanya dalam ucapan selepas merasmikan portal tersebut di Sasana Kijang, di sini, semalam.

Jelas beliau, tindak balas pantas adalah teras untuk menghalang dana yang dicuri daripada dikeluarkan dari sistem kewangan, justeru meningkatkan kemungkinan pemulangan. 

Katanya, peringkat rintis, NFP mengurangkan masa menjejaki transaksi penipuan hingga 75 peratus dan meningkatkan jumlah purata bulanan dana dibekukan (‘earmarked amount’) oleh institusi kewangan sebanyak 28 peratus atau RM4 juta. 

“Dengan penyertaan 16 institusi kewangan, manfaat portal ini dijangka terus meningkat, seiring dengan penambahbaikan berterusan dan lebih banyak penyertaan institusi kewangan.

“Portal ini juga disokong oleh akses kepada data berkaitan akaun keldai daripada seluruh industri kewangan,” ujarnya.

Sementara itu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, NSRC membuka lebih daripada 12,000 kertas siasatan dan membekukan sejumlah RM72 juta daripada akaun yang dikenal pasti terlibat dalam penipuan sehingga Jun 2024.

Katanya, pembukuan itu dibuat melalui perintah penguatkuasaan yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, darı sudut penguatkuasaan secara khususnya, negara telah memperoleh manfaat ketara hasil daripada penubuhan NSRC pada bulan Oktober 2022. 

“Walau bagaimanapun, penjenayah siber akan terus-menerus mengeksploitasi teknologi untuk mengembangkan taktik mereka. 

“Lantas, NSRC juga perlu mengorak langkah menggunakan pendekatan dipacu teknologi bagi mengatasi kesemua ancaman ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN