Hasil cukai dijangka cecah RM260 bilion menjelang 2025

Hasil cukai dijangka cecah RM260 bilion menjelang 2025

PEJABAT Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaksanaan e-Invois boleh membawa kepada peningkatan hasil cukai dengan kutipan dijangka boleh mencecah RM260 bilion atau lebih menjelang 2025 berdasarkan andaian pertumbuhan lapan peratus, kata TA Securities.

Firma penyelidikan itu berkata, e-Invois akan mempercepatkan proses perakaunan cukai dan pihaknya memuji sistem itu memandangkan ia dijangka dapat mengurangkan penipuan tuntutan dan meningkatkan pematuhan dalam kalangan pembayar cukai.

Setelah rangka kerja dan dasar untuk operasi syarikat disediakan, e-Invois boleh mengurangkan kelewatan, isu kebolehkesanan dan ralat yang berkaitan dengan dokumentasi manual, sekali gus mengurangkan halangan birokrasi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, meskipun sukar untuk mengira secara langsung impaknya, tetapi ia percaya e-Invois akan membantu kerajaan mencapai sasaran kutipan cukai 2024 sebanyak RM243.6 bilion

“Pada suku pertama tahun ini, Malaysia telah mencatatkan hasil keseluruhan hampir RM70 bilion, di mana RM36.9 bilion adalah dari cukai langsung, RM15.7 bilion dari cukai tidak langsung dan baki terdiri daripada hasil bukan cukai.

“Kutipan pada tahun 2025 ini akan disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan langkah-langkah yang diambil untuk meningkatkan mobilisasi hasil dengan meluaskan asas cukai dan meningkatkan pematuhan serta ketelusan cukai. 

“Butiran ramalan lanjut akan dinyatakan dalam laporan Pra-tonton Belanjawan 2025 kami kelak,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Oleh itu, TA Securities mengekalkan ramalan defisit belanjawannya pada 4.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini, sedikit lebih rendah daripada sasaran defisit kerajaan sebanyak 4.3 peartus. 

Pada 2023, kutipan cukai yang disemak adalah RM229.2 bilion.

Kerajaan bersetuju menguatkuasakan e-Invois secara mandatori kepada pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta mulai 1 Ogos 2024.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembayar cukai mengikut kategori pendapatan selainnya akan dibuat secara berfasa dengan sasaran pelaksanaan menyeluruh mulai 1 Julai 2025.

Inisiatif e-Invois di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) diperkenalkan seiring Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang Kebangsaan (NESR) 2.0 dan Program Mangkin Malaysia Digital (PEMANGKIN).

Sebelum ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, peniaga kecil yang mempunyai jualan tahunan bawah RM150,000 tidak perlu mengeluarkan e-Invois buat sementara waktu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN