PETALING JAYA: Pendapatan DRB-Hicom bagi suku kedua tahun kewangan 2024 merosot sebanyak 5.6 peratus daripada RM3.98 bilion kepada RM3.75 bilion, terutamanya disebabkan oleh sumbangan yang lebih rendah daripada segmen automotif, pos dan hartanah.
Ini ekoran pendapatan segmen automotif menurun sebanyak 10.8 peratus tahun ke tahun kepada RM2.5 bilion disebabkan jualan kenderaan yang lebih rendah.
Jumlah jualan PROTON susut sebanyak 11.1 peratus tahun ke tahun kepada 32,938 unit dalam suku kedua tahun kewangan 2024 berbanding 37,034 unit pada suku sama tahun kewangan 2023, ekoran penutupan dan penyelenggaraan kilang yang dijadualkan semasa suku berkenaan.
Ekoran itu keuntungan sebelum cukai kumpulan juga merosot kepada RM25.9 juta, berbanding RM84,9 juta bagi suku yang sama 2023.
Kemerosotan ini terutamanya disebabkan oleh prestasi yang lemah dalam perniagaan automotif dan pos.
Keuntungan sebelum cukai (PBT) segmen automotif menurun sebanyak 27.3 peratus tahun ke tahun kepada RM96.9 juta disebabkan oleh penurunan jumlah jualan.
Kerugian dalam perniagaan pos meningkat sebanyak 53.2 peratus tahun ke tahun kepada RM64.9 juta disebabkan oleh pengurangan hasil daripada operasi antarabangsa.
Pendapatan sektor pos jatuh sebanyak 10.2 peratus tahun ke tahun kepada RM240.5 juta berikutan pengurangan hasil dalam perniagaan antarabangsa.
Pendapatan segmen hartanah merosot sebanyak 71.4 peratus tahun ke tahun kepada RM26.1 juta disebabkan ketiadaan penjualan tanah industri dan penyempurnaan projek di bawah perjanjian konsesi pada tahun lalu.
Bagaimanapun, kemerosotan itu diimbangi oleh hasil yang lebih tinggi dalam sektor aeroangkasa dan pertahanan (A&D), perbankan, dan perkhidmatan.
Sektor A&D mencatat peningkatan pendapatan sebanyak 43 peratus tahun ke tahun kepada RM187.8 juta, disebabkan penghantaran bahagian pesawat yang lebih tinggi.
Pendapatan sektor perbankan meningkat sebanyak 22.8 peratus tahun ke tahun kepada RM524.8 juta, berikutan pendapatan pembiayaan yang lebih tinggi dan pengembangan pangkalan pelanggan,” katanya. – UTUSAN










