PETALING JAYA: Citra Kesom Sdn. Bhd. (Citra Kesom), pengeluar minuman botani berfungsi di bawah jenama Boomchaz Kombucha dan Boomchaz Xtive menyasarkan menembusi pasaran Hong Kong, Amerika Syarikat (AS) dan Qatar dalam masa satu hingga dua tahun akan datang.
Pengasas dan Ketua Eksekutifnya, Nadia Yahaya berkata, misi syarikat adalah untuk menjadi pengeluar minuman kombucha dan fermentasi negara menjelang 2026 dan menguasai satu peratus segment pasaran halal global bagi jenis minuman tersebut menjelang 2030.
Katanya, Boomchaz Kombucha adalah minuman fermentasi kombucha dalam dalam botol, manakala Boomchaz Xtive pula bentuk serbuk yang masing-masing telah menerima pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada Februari 2024 dan Julai tahun lalu.
“Boomchaz Kombucha, sebuah jenama yang bermula dengan kepercayaan yang kukuh bahawa setiap individu yang mementingkan kesihatan harus mendapat manfaat besar daripada kombucha yang sihat.
“Minuman ini dibuat dalam kelompok kecil, dibancuh dengan bahan organik yang terpilih dan digabungkan dengan teh hitam dan hijau premium terpilih.
“Boomchaz Kombucha dibancuh menggunakan kaedah tradisional. Walaupun begitu, kami tetap memastikan proses pembuatan kombucha kami bersih dan mematuhi garis panduan halal daripada Jakim,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Nadia berkata, minuman yang melalui proses fermentasi akan menghasilkan alkohol dan di bawah ketetapan Jakim, ia harus berada di bawah satu peratus bagi memenuhi kriteria untuk pensijilan halal.
Menurutnya, proses kombucha mereka yang terdiri daripada enam perasa iaitu asli, campuran beri, halia nanas, delima saffron, kayu manis epal dan pink guava mempunyai kandungan alkohol di bawah 0.5 peratus.
“Kombucha atau orang Melayu kenali sebagai cendawan Mekah adalah teh yg diperam menggunakan gula dan yis untuk proses pemeraman selama 30 hari. Acid yang dihasilkan melalui proses ini bagus untuk pencernaan kita.
“Kita lihat ramai yang mempunyai masalah sembelit dan tidak mengambil peduli dengan hal ini. Jika lebih 72 jam kita tidak membuang air besar, ia boleh menjadi toksin dalam badan.
“Saya mula menghasilkan produk ini ketika arwah ibu saya menghidap penyakit kanser. Bagi penyakit kanser ini meminum ini dapat membantu mengurangkan rasa loya,” katanya.
Beliau berkata, syarikat yang ditubuhkan pada 2019 tersebut kini telah memasuki pasaran eksport ke Singapura melalui produknya, Boomchaz Xtive iaitu kombucha dengan probiotik.
Tambahnya, pihaknya juga mengeluarkan dua minuman kombucha baharu sempena Merdeka iaitu The 5igther dan The Defender iaitu masing-masing perisa bunga raya, roselle, sumac serta madu Borneo dan durian belanda.
Nadia berkata, produknya kini boleh didapati di beberapa farmasi, kafe, Pasar Besar di Central Market dan pihaknya juga dalam usaha untuk memasarkan hotel-hotel terkemuka di negara ini.-UTUSAN










