PUTRAJAYA: Kerajaan melalui Belanjawan 2025 akan melengkapkan komitmen syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk merancakkan pelaburan dalam sektor domestik.
Langkah itu menerusi komitmen pelaburan dengan tambahan RM440 bilion ke dalam pasaran modal domestik dan juga komitmen RM120 bilion ke dalam pelaburan domestik langsung termasuk modal teroka yang akan disalurkan dalam tempoh lima tahun akan datang.
Menerusi dokumen Kenyataan Pra Belanjawan 2025 (KPB) yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF), sejajar dengan tumpuan Ekonomi Madani untuk ‘Menaikkan Lantai’, GLIC dan GLC akan meneruskan komitmen mereka terhadap penglibatan komuniti.
“Inisiatif ini dengan memberi tumpuan kepada aktiviti berasaskan komuniti serta meningkatkan kebajikan tenaga kerja mereka,” katanya.
Belanjawan 2025 bertemakan Ekonomi Madani: Negara Makmur, Rakyat Sejahtera memfokuskan kepada tiga keutamaan bagi merealisasikan kerangka Ekonomi Madani iaitu menaikkan siling (dari segi menstrukur semula ekonomi supaya lebih bernilai dan berdaya saing tinggi).
Selain itu ialah keutamaan menaikkan lantai (menambah baik mutu kehidupan rakyat dan keterangkuman peluang); dan memperkukuh tatakelola dan penyampaian perkhidmatan awam.
Pada masa sama, kerajaan menggalakkan aktiviti daya cipta dan penggunaan teknologi supaya tahap persaingan di peringkat serantau dan global dapat ditingkatkan.
Hal ini termasuk penggunaan automasi, kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin yang berupaya meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos serta menggalakkan pertumbuhan mampan merentas sektor.
“Kerajaan mengalu-alukan cadangan ke arah menyokong pendigitalan dan automasi oleh industri termasuk penggunaan AI seperti digariskan dalam Misi 2 Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
“Ini termasuk memenuhi kerangka Ekonomi Madani bagi meningkatkan produktiviti dan mewujudkan peluang baharu pertumbuhan ekonomi.
“Bekerjasama dengan sektor swasta serta merancakkan digitalisasi dan automasi bukan sahaja kunci kepada peningkatan daya saing dan produktiviti negara, malah dapat mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing kurang mahir,” katanya.
Kerajaan juga akan terus melabur dalam pengenalan dan penggunaan AI, keselamatan data serta perkhidmatan pengkomputeran awan untuk penyampaian perkhidmatan awam yang optimum.
Selain itu, Belanjawan 2025 akan memberi tumpuan kepada inisiatif memperkukuh ekosistem syarikat pemula dan memacu pelaksanaan aspirasi KL20 untuk memperkukuh ekosistem pemula niaga di Malaysia di samping menarik pelaburan berkualiti dan bernilai tinggi.
Hasrat itu ke arah menjadikan Malaysia sebagai hab pemula niaga global terulung menjelang 2030 menerusi langkah-langkah utama seperti membawa masuk 12 syarikat modal teroka antarabangsa di Kuala Lumpur.
“Ini termasuk memanfaatkan peluang di bawah Inisiatif Pelaburan ASEAN serta memperhalusi program pelaburan modal teroka negara dalam meningkatkan pertumbuhan syarikat pemula tempatan.
Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menyumbang hanya 38 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) walaupun membentuk 97.4 peratus perniagaan dan menyediakan 48 peratus pekerjaan di Malaysia.
Bagi menangani ketidakseimbangan ini, kerajaan berhasrat untuk memperkukuh semua skala perniagaan dengan menawarkan sokongan menyeluruh dari syarikat pemula sehingga pengusaha berupaya menembusi pasaran eksport.
Ia sekali gus membantu PMKS berkembang secara mampan dan memberi sumbangan lebih bermakna kepada kemakmuran ekonomi Malaysia.
“Untuk itu, kerajaan akan merangka skim pembiayaan, termasuk dana di bawah Institusi Kewangan Pembangunan dan melalui pembiayaan bersama serta skim jaminan dengan kerjasama institusi kewangan swasta.
“Ini untuk mengukuhkan ekosistem pembiayaan dan memudahkan akses pembiayaan pada setiap peringkat pertumbuhan sesuatu syarikat, bermula dari peringkat awal hingga tersenarai,” katanya.-UTUSAN










