Penutupan empat firma multinasional tidak beri impak negatif

Penutupan empat firma multinasional tidak beri impak negatif

KILANG Goodyear di Shah Alam, Selangor antara empat syarikat multinasional yang ditutup pada separuh pertama 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemberhentian operasi empat firma multinasional di negara ini tidak akan memberi impak negatif dalam jangka masa panjang bagi ekonomi makro Malaysia, kata penganalisis.

Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Prof Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, operasi syarikat multinasional bukanlah penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, malah penutupan operasi mereka tidak akan menunjukkan penurunan ketara terhadap pendapatan negara.

“Pendapatan KDNK negara akan kekal disokong oleh pelabur dan syarikat lain termasuk syarikat multinasional sedia ada yang masih beroperasi di negara ini.

“Justeru, penutupan operasi syarikat multinasional berkenaan tidak akan menjejaskan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, faktor utama firma multinasional tersebut mengambil keputusan memberhentikan operasi mereka adalah kerana ingin mengurangkan kos pengeluaran.

“Syarikat tersebut melihat mereka lebih sesuai beroperasi di negara lain yang mana gaji pekerja boleh ditawarkan lebih rendah berbanding di Malaysia, selain negara tersebut dapat membekal tenaga buruh mencukupi.

“Mereka juga mungkin hanya memerlukan pekerja berkemahiran rendah dan teknologi pembuatan yang tidak canggih,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pelabur asing tidak akan tertarik dengan pelaburan syarikat yang mengutamakan pengurang kos dalam masa sama berkemungkinan akan menjejaskan kualiti pengeluaran.

Dalam pada itu, beliau berkata, penutupan operasi syarikat multinasional itu bakal mengubah landskap niaga bagi syarikat tempatan yang berkemungkinan bergantung kepada firma multinasional tersebut yang berperanan sebagai pembekal kepada perniagaan mereka.

“Namun begitu, hal ini akan mengurangkan persaingan kepada syarikat lain untuk memperkembangkan dan meningkatkan pengeluaran mereka, dalam masa sama ‘menggantikan’ peranan syarikat multinasional tersebut,” katanya.

Kelmarin, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memaklumkan dalam sidang Parlimen, sebanyak empat firma multinasional dengan jumlah pelaburan RM7 bilion menghentikan operasi pada separuh pertama 2024.

Firma tersebut ialah Goodyear Malaysia Bhd., pembuat tayar dalam industri produk berasaskan getah, manakala tiga lagi adalah dari industri pengangkutan, besi dan keluli serta makanan.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi, Prof Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, penutupan firma multinasional tersebut tidak akan mendatangkan kerugian terhadap negara kerana kebanyakannya mengambil tenaga pekerja asing.

“Warga tempatan di negara kita tidak mahu bekerja sebagai buruh tenaga syarikat itu ekoran ditawar dengan harga yang lebih rendah, dengan itu ia tidak akan menjejaskan kadar pengangguran negara sekiranya syarikat itu menutup operasi.

“Kebanyakan syarikat multinasional tersebut membawa keluar keuntungan mereka dan tidak memberi pulangan lumayan kepada negara, melainkan banyak warga tempatan yang ingin bekerja dengan kilang syarikat tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN