PETALING JAYA: Sektor media dijangka mengalami penurunan perbelanjaan iklan yang akan terus menjadi cabaran kepada sektor itu, menurut RHB Investment.
Firma penyelidikan itu berkata, prospek pertumbuhan sektor itu kekal mencabar disebabkan kebimbangan struktur, ketidaktentuan geopolitik dan halangan dasar domestik.
“Kami terus menyokong strategi dagangan taktikal yang memberi fokus kepada saham dengan aliran berita positif, walaupun dengan harga prognosis pendapatan yang lemah.
“Oleh itu, kami mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor itu,” katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu menjelaskan, harga saham-saham media di bawah liputannya menyusut kira-kira 13 peratus, didorong oleh pendapatan korporat yang lemah dan perbelanjaan pengiklanan yang perlahan.
“Pendapatan sektor teras agregat menjunam sebanyak 40 peratus dari suku tahun ke suku tahun dan turun 45 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2024 dengan beberapa elemen bermusim memainkan peranan.
“Momentum pendapatan sektor yang lemah juga dijangka berterusan kesan daripada perbelanjaan pengguna yang terhad serta persekitaran luar yang mencabar seperti krisis geopolitik dan masalah makroekonomi.
“Pengoptimuman kos perlu menjadi matlamat utama kepada pemain media,” katanya.
RHB Investment berkata, Astro Malaysia Holdings Bhd. sebelum ini mendedahkan pengurangan satu pertiga kos daripada rombakan sistem sokongan pelanggannya dengan proses pendigitalan dijangka menyumbang kepada penjimatan perbelanjaan mengurus tambahan (opex) dalam jangka panjang.
“Kami perhatikan ia juga mengalihkan perkhidmatan kepada awan yang akan menyaksikan pengurangan kos berkaitan dengan mengekalkan sistem warisan.
“Astro juga dapat menjimatkan RM10 juta hingga RM15 juta setiap suku dalam operasi opex, susut nilai dan kos faedah daripada penyahtauliahan enam transponder pada Measat-3a, yang mencapai penghujung hayatnya pada Julai,” katanya
Katanya, Astro dikenakan tuntutan cukai tambahan sebanyak RM735 juta dan pada 11 Julai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk tahun-tahun taksiran 2019-2023, termasuk denda.
“Caj tambahan ini berkaitan dengan kos pengeluaran kandungan tempatan yang sebelum ini dibenarkan untuk potongan cukai tetapi kini dipertikaikan oleh LHDN.
“Pihak pengurusan melihat ada alasan kukuh untuk membuat rayuan dan bercadang untuk mencabar kesahihan tuntutan tersebut. Jumlah ini bersamaan dengan kira-kira 50 peratus daripada kapitalisasi pasaran Astro.
“Berdasarkan notis serupa yang difailkan oleh LHDN pada masa lalu ke atas syarikat lain, proses undang-undang kelihatan akan memakan masa.
“Kami tidak menolak kemungkinan ‘penyelesaian secara baik’ pada masa akan datang, kerana kumpulan ini berusaha menyelesaikan isu ini dengan segera,” katanya.-UTUSAN











