PETALING JAYA: Malaysia mampu mengharungi cabaran global dan berkembang melebihi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global tahun ini, kata J.P. Morgan Chase Bank Berhad.
Bank Dunia dalam Laporan Prospek Ekonomi Global Jun 2024 sebelum ini mengunjurkan pertumbuhan KDNK global pada 2.6 peratus pada 2024 dan menganggarkan pertumbuhan KDNK Malaysia meningkat kepada 4.3 peratus pada 2024.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hooi Ching Wong, pihaknya melihat Malaysia sebagai sinar harapan dalam keadaan kewangan global yang ketat.
Katanya, pembaharuan polisi, pelaburan dalam pusat data dan pembinaan infrastruktur telah menjadi penggerak utama bagi Malaysia.
“Dengan gabungan pertumbuhan KDNK yang berdaya tahan dan lebihan akaun semasa yang besar, negara dapat mengharungi cabaran global dan berkembang melebihi KDNK global tahun ini.
“Kami menghargai peluang untuk membantu mempromosikan inisiatif ini dan ingin menyatakan sokongan berterusan kami terhadap usaha Malaysia ke arah meningkatkan lagi pertumbuhan dan ekonomi,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan bersama oleh UOB Malaysia, CIMB dan J.P. Morgan tersebut dikeluarkan sempena penganjuran sesi pertemuan pelabur dengan Kerajaan Malaysia di Singapura pada Jumaat lalu yang dianjurkan ketiga-tiga institusi itu.
Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, berdasarkan Kajian Tinjauan Perniagaan UOB 2024, Malaysia adalah negara teratas di mana syarikat ASEAN dan Greater China ingin mengembangkan perniagaan mereka dalam tempoh tiga tahun akan datang.
“UOB akan terus memainkan peranan penting dalam mempermudah pelaburan ke dalam negara sebagai sebahagian daripada komitmen kami dalam menyokong kemajuan ekonomi negara,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bersama, Perbankan Borong Kumpulan CIMB, Chu Kok Wei berkata, pihaknya gembira menjadi sebahagian daripada usaha ini, yang berupaya meningkatkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik dengan prospek yang kukuh.
“Sesi ini merupakan peluang penting untuk memajukan hubungan ekonomi yang teguh dengan semua pihak berkepentingan di samping menggalakkan kerjasama antara semua pihak ke arah pencapaian objektif dan manfaat bersama.
“Pertemuan seperti ini bukan sahaja dapat memperkukuh kerjasama sedia ada, malah membuka jalan ke arah strategi yang berkesan dan pertumbuhan ekonomi yang mampan untuk Malaysia,” jelasnya.
Mengulas mengenai acara tersebut, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, Kerangka Ekonomi Madani akan menstruktur semula ekonomi dan meningkatkan pertumbuhan Malaysia dalam tempoh 10 tahun akan datang.
“Tinjauan positif daripada para penganalisis dan agensi penarafan, disokong oleh angka ekonomi yang menggalakkan, menunjukkan bahawa Malaysia sedang mengorak langkah besar untuk menuntut semula statusnya sebagai Harimau Asia,” katanya.
Bertajuk, ‘Highlights for Growth’, objektif utama sesi tersebut adalah untuk mengukuhkan persepsi dan sentimen pelabur terhadap Malaysia, sekali gus memberikan gambaran menyeluruh tentang strategi pertumbuhan, prospek ekonomi dan pembaharuan fiskal kerajaan.-UTUSAN










