PETALING JAYA: Penutupan kilang Perodua dan Proton membuatkan jumlah keseluruhan industri (TIV) menurun sebanyak 15 peratus bulan ke bulan kepada 58,046 unit pada Jun 2024.
Menurut Kenanga Research, penurunan itu disebabkan oleh penutupan selama seminggu semasa perayaan Aidiladha serta penjualan kenderaan komersial yang lebih lemah berikutan pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel.
“Dengan TIV untuk separuh pertama tahun kewangan 2024 yang mencatatkan 53 peratus daripada unjuran penuh tahun kami sebanyak 740,000 unit (-8 peratus tahun ke tahun), kami menganggap angka ini memenuhi jangkaan kami.
“Unjuran TIV kami untuk tahun kewangan 2024 adalah sedikit lebih konservatif daripada 765,000 unit yang diunjurkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
“Hal ini kerana kami percaya pelaksanaan e-Invois dan rasionalisasi subsidi petrol pada separuh kedua tahun kewangan 2024 akan menjejaskan jualan kenderaan,” katanya dalam nota penyelidikan.
Firma penyelidikan itu berkata, pihaknya percaya walaupun segmen mampu milik akan terus beroperasi seperti biasa, rasionalisasi subsidi bahan bakar mungkin menjejaskan permintaan model pasaran pertengahan, menyebabkan pasaran automotif tempatan bergerak dua kelajuan pada 2024.
“Secara umum, kebolehlihatan pendapatan industri masih baik, disokong oleh baki tempahan sebanyak 170,000 unit pada akhir Jun.
“Pilihan utama sektor kami ialah MBM Resources Berhad (MBMR) ((OP): harga sasaran: (TP) RM6.30) yang merupakan proksi yang baik untuk jenama Perodua yang mampu milik dan cekap bahan bakar. Ia juga menawarkan hasil dividen yang menarik sekitar 7.0 peratus,” ujarnya.
Jelas Kenanga Research, lebih banyak kenderaan elektrik bateri (BEV) akan menyokong jualan kenderaan baharu yang menikmati pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan insentif kenderaan elektrik (EV) lain sehingga tahun kewangan 2025 untuk sepenuhnya luar negara (CBU) dan tahun kewangan 2027 untuk pemasangan tempatan (CKD).
Tambahnya, pendaftaran baharu untuk BEV meningkat dari 274 unit pada tahun kewangan 2021 kepada lebih 3,400 unit pada tahun kewangan 2022.
Sementara itu, 10,159 unit dicatatkan pada tahun kewangan 2023 dan 6,617 unit pada separuh pertama tahun kewangan 2024.
“Kami menjangkakan lebih banyak insentif dari kerajaan yang menetapkan sasaran nasional untuk EV dan kenderaan hibrid sebanyak 15 peratus daripada TIV pada tahun kewangan 2030 dan 38 peratus pada tahun kewangan 2040.
“Kerajaan juga akan mempercepatkan kelulusan untuk stesen pengecasan.
“Bilangan stesen pengecasan yang beroperasi kini berjumlah 3,951 dijangka hampir tiga kali ganda kepada 10,000 pada akhir 2025,” katanya.
Tambah firma itu, melihat ke hadapan, Kenanga Research percaya TIV pada Julai 2024 akan meningkat bulan ke bulan tanpa penutupan kilang utama.
“Analisis terperinci segmen kenderaan penumpang pada Jun 2024 mencatatkan 52,487 unit (-17 peratus bulan ke bulan, -6 peratus tahun ke tahun),” katanya.-UTUSAN










