PETALING JAYA: Nilai jualan sektor pembuatan berjumlah RM154.9 bilion pada Mei 2024, peningkatan sebanyak 5.5 peratus, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, nilai jualan sektor pembuatan meningkat sebanyak 5.5 peratus kepada RM154.9 bilion pada Mei 2024, setelah mencatatkan pertumbuhan 5.7 peratus pada bulan sebelumnya.
Katanya, kenaikan tersebut disokong terutamanya oleh pertumbuhan dua digit dalam subsektor peralatan elektrik dan elektronik (12.2 peratus), diikuti dengan subsektor produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (8.9 peratus) dan makanan, minuman dan tembakau (7.7 peratus).
“Perbandingan dengan bulan sebelumnya, nilai jualan berkembang sebanyak 1.1 peratus (April 2024: -3.3 peratus).
“Lebih daripada dua pertiga nilai jualan disumbangkan oleh industri berorientasikan eksport, yang semakin meningkat sebanyak 4.6 peratus tahun ke tahun (April 2024: 3.4 peratus).
“Pertumbuhan tersebut disokong oleh pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (14.3 peratus); ditambah dengan pengembangan 9.0 peratus dalam pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan,” katanya dalam kenyataan.
Berasaskan bulan ke bulan, Mohd Uzir berkata, nilai jualan industri berorientasikan eksport kembali ke jajaran positif dengan merekodkan pertumbuhan 2.5 peratus (April 2024: -3.9 peratus).
Selain itu, industri berorientasikan domestik berkembang sebanyak 7.9 peratus pada Mei 2024, terutamanya disebabkan oleh pengembangan dalam industri pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler (12.9 peratus), pembuatan produk logam, kecuali mesin dan kelengkapan (9.7 peratus) dan pembuatan pemprosesan makanan (6.3 peratus).
Tambahnya, berbanding bulan sebelumnya, nilai jualan industri berorientasikan domestik kekal merosot sebanyak 2.2 peratus.
“Seramai 2.38 juta orang pekerja terlibat dalam sektor pembuatan pada Mei 2024, meningkat 0.9 peratus berbanding 2.36 juta orang yang direkodkan setahun lalu.
“Kenaikan itu terutamanya dalam subsektor makanan, minuman dan tembakau (4.6 peratus) produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (1.9 peratus) dan kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan (0.8 peratus),” ujarnya.
Tambahnya, gaji dan upah yang dibayar dalam sektor pembuatan meningkat 1.1 peratus tahun ke tahun untuk merekodkan RM8.19 bilion pada Mei 2024.
“Purata gaji dan upah bulanan bagi setiap pekerja adalah RM3,445 pada Mei 2024, menaik sebanyak 0.2 peratus berbanding setahun yang lalu, manakala nilai jualan bagi setiap pekerja meningkat sebanyak 4.5 peratus untuk merekodkan RM65,146,” jelasnya.
Merumuskan prestasi kumulatif sektor pembuatan sehingga Mei 2024, Mohd Uzir berkata, nilai jualan sektor pembuatan mencapai RM765.5 bilion, meningkat sebanyak 3.3 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023 (Januari – Mei 2023: 5.1 peratus).
“Bilangan pekerja menokok sebanyak 0.9 peratus kepada sejumlah 2.38 juta orang, sementara gaji dan upah tumbuh 1.2 peratus kepada RM41.1 bilion. Oleh itu, nilai jualan setiap pekerja adalah sebanyak RM321,927, mencatatkan pertumbuhan 2.3 peratus,” tambahnya.-UTUSAN










