HARTANAH di luar Lembah Klang semakin meningkat disebabkan pembeli kini lebih cenderung mencari kediaman di kawasan yang lebih tenang dengan harga yang berpatutan.
Hal ini disebabkan kesesakan dan kos hidup yang tinggi di Lembah Klang terutama di Kuala Lumpur. Mengikut data PropertyGuru, bandar-bandar utama dengan carian tertinggi adalah Ipoh, Perak; Kuching, Sarawak; Kota Kinabalu, Sabah dan Seremban, Negeri Sembilan.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini juga, pembangunan infrastruktur di luar Lembah Klang menerima pelaburan terutamanya dalam infrastruktur seperti jalan raya, lebuh raya dan pengangkutan awam.
Perkara ini secara tidak langsung meningkatkan akses dan menjadikan kawasan tersebut lebih menarik untuk pembeli rumah.
Ketua Pegawai Eksekutif Matrix Concepts, Chai Keng Wai berkata, pada 2013, hanya lima peratus pembeli projek perumahan mereka yang berasal dari Lembah Klang.
“Namun, tahun ini, pembeli dari Lembah Klang meningkat kepada 60 peratus, iaitu lebih tinggi berbanding pembeli dari Negeri Sembilan. Data ini menunjukkan peningkatan sebanyak 55 peratus pembeli dari kawasan Lembah Klang memilih projek perumahan yang ditawarkan Kumpulan Matrix Concepts.
“Mengikut unjuran tawaran harga projek perumahan daripada Matrix Concepts, sebanyak 60 hingga 70 peratus projek perumahan ditawarkan di bawah RM600,000, manakala 20 hingga 30 peratus untuk rumah berharga RM600,000 hingga RM800,000 dan lima hingga 10 peratus bagi rumah bernilai lebih RM800,000,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Menurut beliau, ketika ini Matrix Concepts menumpukan pada pembangunan di kawasan Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan bagi memenuhi keperluan pembeli yang mencari pilihan alternatif dari segi lokasi dan kos.
Beliau menjelaskan, tidak dinafikan hartanah di sekitar Seremban merupakan tumpuan pembeli yang mahukan kediaman selesa di luar Lembah Klang sebagai alternatif berbanding rumah di pusat bandar yang mahal.
“Ini memberikan peluang kepada pembeli rumah, terutama golongan muda dan keluarga baharu untuk memiliki rumah sendiri.
“Selain itu, lebih banyak syarikat dan industri berpindah ke luar Lembah Klang, contohnya di Bandar Enstek, Nilai sekali gus menambah peluang pekerjaan dan mula menarik penduduk untuk tinggal lebih dekat dengan tempat kerja mereka.
“Kualiti hidup di kawasan luar Lembah Klang biasanya menawarkan persekitaran yang lebih hijau dan tenang. Ini boleh meningkatkan kualiti hidup penduduk yang mencari gaya hidup lebih santai dan mesra alam,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Negara Malaysia, PropertyGuru dan iProperty, Kenneth Soh berkata, sehingga Mei tahun ini, pembeli telah menunjukkan minat yang tinggi terhadap hartanah di luar Lembah Klang.
“Keutamaan pembeli di luar Lembah Klang menunjukkan kecenderungan terhadap hartanah bertanah.
“Trend ini mencerminkan keinginan untuk persekitaran hidup yang lebih luas dan lebih berpatutan berbanding dengan pusat bandar. Selain itu, terdapat permintaan yang ketara untuk hartanah yang berhampiran pengangkutan awam, lebuh raya utama dan projek kereta api yang akan datang,” ujarnya.
Tambah beliau, berdasarkan data, Ipoh (harga median hartanah yang dicari: RM449,800) menjadi pilihan popular dalam kalangan pesara dan mereka yang mencari gaya hidup yang lebih tenang, terutama ketika bekerja secara jarak jauh kini menjadi norma.
“Bandar ini menawarkan gabungan pesona bandar kecil dan kos hidup yang lebih rendah serta dilengkapi dengan kemudahan asas seperti tarikan keluarga, kemudahan kesihatan, sekolah yang baik, dan pelbagai kemudahan,” ujarnya.-UTUSAN










