PETALING JAYA: TA Securities mengunjurkan inflasi berada pada paras 3.3 peratus pada tahun ini, didorong oleh andaian harga minyak RON95 meningkat sebanyak 40 sen seliter bermula pada suku akhir tahun ini.
Menurut satu nota penyelidikannya, kenaikan harga bahan api yang digunakan secara meluas itu berkemungkinan menyebabkan kesan inflasi yang lebih besar.
“Bagaimanapun, pertimbangan politik menyukarkan untuk menyatakan dengan pasti pemotongan subsidi itu akan berlaku, tetapi sekiranya rasionalisasi subsidi itu tidak berlaku dalam tempoh terdekat ini, maka unjuran inflasi baharu mungkin jauh lebih rendah.
“Kami percaya bahawa purata Indeks Harga Pengguna (IHP) tahun ini boleh menyusut dalam julat 2.5 peratus hingga 3.0 peratus, dengan titik tengah 2.7 peratus, walaupun kami masih tidak pasti tentang pendirian tegas kerajaan mengenai perkara ini.
“Di bawah senario ini, kita mungkin melihat harga meningkat kepada 2.6 peratus pada separuh kedua tahun ini berbanding suku pertama iaitu 1.8 peratus,” katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, berhubung rasionalisasi subsidi bahan api, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini menyatakan bahawa rasionalisasi subsidi RON95 tidak akan dilaksanakan buat masa ini.
“Ini kerana kerajaan mahu memastikan orang ramai memahami sepenuhnya pelaksanaan subsidi diesel bersasar,” katanya.
Sementara itu, TA Securities turut menjangkakan kadar inflasi bagi Julai 2024 kekal terurus dan berkemungkinan sejajar dengan ramalan sebanyak 2.1 peratus, selain kesan kenaikan harga diesel secara relatifnya adalah lebih rendah daripada anggaran.
“Kestabilan itu boleh dikaitkan dengan pertumbuhan kos pengangkutan yang tidak berubah.
“Buat masa ini, harga semua jenis bahan api kekal tidak berubah. Aliran yang konsisten ini menunjukkan pertumbuhan tidak berubah dalam Indeks Pengangkutan dan segmen berkaitannya,” katanya.
Tambahnya, purata inflasi utama ialah 1.8 peratus kepada 132.3 mata bagi separuh pertama tahun ini.
“Penyumbang utama kepada trajektori ini ialah perkhidmatan restoran dan penginapan sebanyak 3.1 peratus, diikuti perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (2.9 peratus), kesihatan (2.1 peratus), serta makanan dan minuman (1.9 peratus),” katanya.-UTUSAN










