Industri dan rakyat bakal terima limpahan pelaburan

Industri dan rakyat bakal terima limpahan pelaburan

MALAYSIA menjadi pilihan syarikat teknologi gergasi untuk pelaburan pusat data sejak kebelakangan ini.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DASAR ekonomi negara yang sentiasa menyokong kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) menjadi pendorong kepada pertumbuhan pelaburan pusat data ke negara ini.

Pelbagai insentif diberikan seperti cukai serta promosi berterusan daripada agensi-agensi pelaburan sentiasa membuka ruang kepada pelabur asing untuk terus melabur di Malaysia. 

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, sumber tanah yang luas, ekosistem perniagaan yang lengkap seperti tenaga kerja, sumber tenaga dan infrastruktur memudahkan urusan para pelabur. 

Katanya, tawaran menarik yang ada di Malaysia dan menarik pelabur asing untuk membuka pusat data mereka di sini pastinya memberi manfaat kepada industri dan juga rakyat negara ini.

“Syarikat-syarikat hartanah dan pembinaan sudah pun mendapat kesan limpahan hasil daripada pelaburan pusat data oleh pelabur-pelabur asing ini. 

“Kita dapat melihat beberapa transaksi dan usahasama antara syarikat hartanah dengan penyedia perkhidmatan pusat data, di samping syarikat pembinaan yang mendapat kontrak untuk membina pusat data ini. Justeru, ada kesan limpahannya. 

“Namun fokus seterusnya adalah untuk memastikan tenaga mahir seperti saintis data, programmer dan sebagainya akan diberikan peluang kepada tenaga mahir tempatan untuk mentadbir dan menerajui pusat data ini,” katanya.

Beliau berkata, cabaran utama yang beliau lihat adalah dari segi tenaga buruh mahir seperti jurutera, saintis data dan sebagainya. 

“Adakah tenaga mahir tempatan mencukupi dan memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh pusat data ini. Jika tidak, sudah tentu tenaga mahir luar akan diambil,” ujarnya.

Mohd. Afzanizam menjangkakan trend kemasukan FDI pusat data akan berterusan buat masa terdekat berikutan penggunaan perkomputeran awam serta kecerdasan buatan (AI) banyak memerlukan pusat data. 

“Memandangkan Malaysia mempunyai infrastruktur yang sesuai seperti keluasan tanah, bekalan tenaga elektrik dan air serta tenaga buruh telah memungkinkan pusat data ini untuk bertapak di Malaysia.

“Namun, pihak kerajaan juga cakna akan keperluan untuk mempelbagaikan pelaburan dalam sektor dan industri. Justeru, trend pusat data ini akan mencapai tahap puncak pada masa akan datang,” jelasnya.

Dalam pada itu, penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, persaingan sengit sememangnya berlaku antara negara-negara ASEAN dalam menarik FDI.

Katanya, posisi Malaysia yang kukuh sebagai pengeluar utama semikonduktor dunia, infrastruktur yang bertaraf dunia, kawasan yang luas, tenaga elektrik yang murah dan stabil serta komposisi demografi negara berbilang bangsa menjadi kelebihan utama dalam pemilihan para pelabur.

“Dengan pelaburan berskala besar ini,  sektor hartanah dan pembinaan menerima faedah terlebih dahulu. Pembinaan pusat data dan infrastruktur seperti jalan raya, perumahan, sekolah, kedai dan sebagainya akan mendapat permintaan yang tinggi. 

“Permintaan untuk pekerja mahir dan tidak mahir tempatan juga bertambah. Sekiranya tidak dapat diisi, maka kepakaran berkenaan akan dipenuhi oleh tenaga dari luar negara. 

“Begitu juga limpahan ekonomi berganda turut sampai kepada sektor makanan, runcit serta logistik dan pendidikan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×