Indeks pengeluaran perindustrian naik 2.4 peratus pada Mei 2024

Indeks pengeluaran perindustrian naik 2.4 peratus pada Mei 2024

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks pengeluaran perindustrian (IPP) meningkat 2.4 peratus tahun ke tahun pada Mei 2024 didorong oleh pertumbuhan output yang stabil dalam sektor pembuatan, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, berkata, peningkatan tersebut dipacu terutamanya oleh sektor pembuatan yang bertumbuh 4.6 peratus berbanding 4.9 peratus pada April dan pengembangan 4.2 peratus dalam output elektrik (April 2024: 7.8 peratus). 

“Pertumbuhan stabil dalam output sektor pembuatan disokong peningkatan dalam industri berorientasikan eksport yang meningkat sebanyak 3.7 peratus berbanding 2.6 peratus yang direkodkan pada April lalu. 

“Ini merupakan pertumbuhan tertinggi yang dicatatkan sejak November 2022 (5.1 peratus), didorong terutamanya oleh pemulihan yang kukuh dalam pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal kepada 8.4 peratus dan peningkatan 4.8 peratus dalam pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan. 

“Momentum pertumbuhan ini turut digambarkan dalam prestasi eksport barangan perkilangan negara yang berkembang 13.5 peratus pada Mei 2024 berbanding 11.9 peratus pada April.

“Perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport meningkat 9.0 peratus berbanding negatif 11.6 peratus pada April 2024,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pertumbuhan pengeluaran industri berorientasikan domestik kekal kukuh sebanyak 6.4 peratus selepas mencatatkan 9.5 peratus pada April. 

“Pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler penyumbang utama, meningkat sebanyak 10.3 peratus, diikuti oleh pembuatan produk galian bukan logam lain (9.8 peratus) serta pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin dan kelengkapan (6.5 peratus). 

“Industri berorientasikan domestik ini berkembang 2.3 peratus  berbanding negatif 1.3 peratus pada April,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kemerosotan 6.9 peratus dalam sektor perlombongan pada Mei disebabkan oleh penurunan pertumbuhan dua digit dalam pengeluaran gas asli 

“Penurunan itu sebanyak negatif 10.3 peratus (April 2024: 14.9 peratus) dan kejatuhan 1.9 peratus dalam output minyak mentah dan kondensat (April 2024: 3.5 peratus). 

“Begitu juga, indeks perlombongan menyusut 8.9 peratus selepas menyusut 6.3 peratus pada bulan sebelumnya. 

“Sementara itu, penjanaan elektrik meningkat 4.2 peratus tahun ke tahun pada Mei 2024 (April 2024: 7.8 peratus) dan indeks elektrik pulih kepada 5.6 peratus (April 2024: -4.0 peratus).” 

Merumuskan prestasi IPP bagi tempoh Januari hingga Mei 2024, katanya, IPP bertambah baik sebanyak 3.6 peratus berbanding 1.9 peratus yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun sebelumnya. 

“Pada tempoh tersebut, kesemua sektor mencatatkan pengembangan, iaitu indeks perlombongan (4.1 peratus); indeks pembuatan (3.1 peratus), dan indeks elektrik (7.8 peratus).

“Pada Mei 2024, IPP menunjukkan peningkatan trend bagi beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Singapura, Jepun, Vietnam, dan Taiwan.  Bagaimanapun, IPP menyederhana di China dan Korea Selatan sementara Thailand mencatatkan penyusutan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN