Hartanah pusat data: Peluang pelaburan era digital

Hartanah pusat data: Peluang pelaburan era digital

SEGMEN memori dijangka melonjak sebanyak 250 peratus tahun ke tahun untuk mencecah nilai AS$800 bilion. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM era pendigitalan selepas pandemik Covid-19, kemajuan dalam teknologi baharu telah mendorong keperluan yang semakin meningkat untuk hartanah pusat data.

Perkembangan dalam gene­ratif kecerdasan buatan (AI), e-dagang dan sebagainya menjadikan pusat data memainkan peranan penting dalam pelbagai sektor seperti teknologi, hiburan dan institusi kewangan mencapai sasaran pertumbuhan.

Sejak awal tahun ini, Malaysia mendapat menjadi tum­puan syarikat gergasi teknologi dunia untuk membuka pusat data dan infrastruktur awan (cloud) serantau di mereka di sini.

Antara syarikat tersebut adalah Google, Amazon Web Services (AWS) dan Microsoft yang membawa masuk pelaburan berbilion ringgit ke dalam negara.

Ini sekali gus memberikan limpahan ekonomi kepada industri yang berada dalam rantaian pusat data dan seterusnya rakyat negara ini.

Ketua Penyelidikan Ekuiti Maybank Investment Bank Bhd. (Maybank IB), Wong Chew Hann berkata, separuh pertama tahun ini menyaksikan perkembangan baik dalam harga saham syarikat-syarikat yang terlibat dalam rantaian pusat data.

Katanya, mereka yang berpotensi mendapat manfaat adalah pemilik tanah seperti Eco World Development Group Bhd., Crescendo Corp Bhd., UEM Sunrise Bhd, Sunway Bhd., AME Elite Consortium Bhd., Mercury Securities Group Bhd. dan Sime Darby Property Bhd.

Tambahnya, manfaat juga dijangka kepada pemaju hartanah, syarikat telekomunikasi (telco), sektor tenaga, tenaga boleh baharu (TBB) dan air yang diperlukan untuk kerja-kerja pembinaan.

“Untuk tenaga, sebahagian besarnya terlindung daripada risiko permintaan dan tidak memberi manfaat secara material daripada peningkatan permintaan, tetapi mungkin menggesa untuk kapasiti baharu. 

“Dan kini, pada separuh kedua tahun ini, dalam tematik pusat data, segmen TBB sebenarnya akan menarik lebih banyak perhatian,” katanya pada Prospek Pasaran bagi separuh kedua 2024 baru-baru ini.

Beliau berkata, Tenaga Nasional Bhd. (TNB) menganggarkan permintaan tenaga yang boleh dikaitkan dengan pusat data berkembang daripada kira-kira 635 megawatt (MW) pada akhir 2023, kepada lebih 5,000MW pada 2035.

Tambahnya, ini mewakili purata kadar pertumbuhan tahunan (CAGR)  lebih 18 peratus.

Sebelum ini, Google mengu­mumkan pelaburan sebanyak AS$2 biliion (RM9.3 bilion) untuk mewujudkan pusat data pertama dan wilayah Google Cloud di Malaysia bagi memenuhi permintaan perkhidmatan awan serantau dan seluruh dunia.

AWS pula bakal membuka infra­struktur serantau baharu di Malaysia dengan pelaburan bernilai AS$6 bilion (RM27.9 bilion) sehingga 2037, manakala Microsoft menambah pelaburan bernilai AS$2.2 bilion (RM10.2 bilion) untuk empat tahun akan datang setelah bertapak selama 32 tahun di Malaysia.

Pelaburan tersebut juga bakal membuka hampir 500,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dalam bidang teknologi meliputi pembangunan sistem dan infrastruktur awan, AI dan lain-lain.

Pusat data ialah kemudahan yang direka untuk menempatkan dan mengendalikan pelayan mengehos data dan aplikasi web.

Sistem perkhidmatan, penyelenggaraan pemanasan, pengudaraan dan penghawa dingin (HVAC) yang dikawal dengan tepat mengawal suhu udara, antara faktor lain untuk mengekalkan keadaan optimum, meminimumkan kependaman dan mencegah masa henti.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×