PETALING JAYA: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) menjadi bank rasmi pertama dipilih oleh Pertubuhan Pemerkasaan dan Transformasi Ekonomi Malaysia (PPTEM) untuk membantu usahawan melalui Program Keusahawanan Muslim ‘Sandbox: The Entrepreneur Kick Start 2024’.
Program itu melibatkan kerjasama dalam pembangunan usahawan muslim, perkongsian kolaboratif dan penawaran kemudahan perkhidmatan kewangan kepada usahawan di seluruh Malaysia.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, bank bersedia untuk melatih 30,000 usahawan muslim sepanjang tahun ini.
Katanya, Bank Muamalat bersedia untuk menyokong serta memberi komitmen penuh dalam memastikan program ini dapat dijalankan dengan jayanya dan mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Sebagai institusi perbankan Islam penuh, Bank Muamalat sentiasa komited dalam membantu para usahawan menerusi kolaborasi serta penawaran produk dan perkhidmatan yang terbaik sejajar dengan iltizam untuk membina ‘Kehidupan Lebih Baik, Bersama’.
“Selain industri kreatif, Bank Muamalat dan PPTEM akan menerokai keperluan untuk membantu perniagaan usahawan muslim di lain-lain industri, sekali gus bakal melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan.
Melalui program yang diperkenalkan oleh PPTEM, Bank Muamalat akan memainkan peranan penting sebagai mentor dan bank utama dalam membantu usahawan tempatan memastikan kelangsungan perniagaan mereka terus maju dan berdaya tahan.
Jelas Khairul, menerusi program tersebut, ahli usahawan program Sandbox akan diberi bantuan melalui pembukaan akaun syarikat bagi tujuan operasi harian perniagaan.
Beliau berkata, bagi mereka yang layak pula, pihaknya juga turut menawarkan kemudahan perbankan dalam bentuk pembiayaan perniagaan, iTEKAD, solusi pengurusan tunai dan sebagainya.
“Bank Muamalat dan PPTEM juga bekerjasama dalam menganjurkan taklimat untuk memberikan penerangan kepada usahawan daripada pelbagai sektor mengenai manfaat program keusahawanan Sandbox dari masa ke semasa,” katanya.
Tambahnya, usahawan yang berminat mendapatkan maklumat lanjut mengenai program ini boleh melayari laman sesawang di www.muamalat.com.my atau kunjungi cawangan bank terdekat atau menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan di 032600 5500.-UTUSAN











