SEKIRANYA anda mahu menyewa rumah, apakah yang menjadi keutamaan selain daripada jenis rumah, lokasi dan harga?
Semestinya anda akan mengambil kira keadaan rumah sama ada rumah yang mahu disewa itu dilengkapi perabot atau kosong.
Perkara ini penting dengan mengambil kira situasi penyewa. Sekiranya anda baru bekerja dan berhijrah dari kampung halaman, sudah tentu rumah yang dilengkapi perabot adalah lebih sesuai kerana tidak perlulah anda berfikir untuk membeli pelbagai perabot lagi.
Namun, untuk yang sudah berkeluarga, pasti anda mahu rumah yang kosong kerana anda mahu membeli sendiri perabot dan peralatan di rumah kerana mahu menggunakan dalam tempoh yang lama.
Di sini, kami senaraikan kebaikan menyewa rumah dilengkapi perabot dan rumah tanpa perabot. Selepas itu, cuba anda bandingkan sendiri yang manakah menjadi pilihan.
KELEBIHAN RUMAH DILENGKAPI PERABOT
Kos belanja masuk rumah yang rendah
Satu perkara yang perlu anda ketahui, perbelanjaan untuk membeli perabot dan kelengkapan rumah adalah tidak murah. Anda perlu menyediakan sekurang-kurangnya RM8,000 untuk membeli televisyen, peti ais, katil, tilam, lampu, pendingin hawa dan sebagainya.
Jimat masa dan tenaga
Proses mencari rumah sewa sebenarnya memakan masa. Jadi, sekiranya rumah sewa anda kosong, anda perlu pula menghabiskan masa untuk mencari peralatan rumah.
Pilihan tepat untuk penyewa sementara
Selalunya, rumah yang dilengkapi perabot mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan penyewa sementara atau jangka pendek. Ini kerana mereka tidak perlu bersusah -payah menyewa lori sekiranya mahu berpindah kelak.
Bebas kos penyelenggaran
Menyediakan kelengkapan rumah yang selesa dan berfungsi sepenuhnya adalah tanggungjawab tuan rumah. Jadi, kos penyelenggaraan peralatan rumah bukan tangungjawab anda sebagai penyewa contohnya pendingin hawa tidak berfungsi dan sebagainya.
KELEBIHAN RUMAH TANPA PERABOT
Harga sewa murah
Tidak dinafikan, harga sewa rumah tanpa perabot adalah lebih murah berbanding yang telah dilengkapi perabot. Kadang-kadang, rumah lengkap perabot ini menyediakan kelengkapan yang tidak diperlukan seperti ketuhar, mesin pengering baju atau kerusi urut. Lebih baik anda menyewa rumah kosong dan komitmen bulanan juga rendah.
Bebas untuk dekorasi rumah
Jika rumah anda kosong, lebih mudah anda menunjukkan kreativiti anda dalam kerja dekorasi rumah. Ada sesetengah orang memang lebih suka melihat rumah dalam susun atur sendiri kerana mahukan ketenangan apabila pulang ke rumah. Paling utama, anda juga tidak perlu risau mengenai ganti rugi sekiranya perabot rumah itu rosak dan sebagainya.
Mudah membawa barang dari rumah lama
Sememangnya, rumah tanpa perabot ini amat sesuai untuk anda yang sudah beberapa kali berpindah rumah dan masih belum memiliki rumah sendiri. Setelah beberapa kali berpindah randah, sudah tentu anda mempunyai perabot atau peralatan elektrik sendiri, jadi lebih mudah anda menyewa rumah yang kosong.-UTUSAN










