PETALING JAYA: Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM246.3 bilion pada Mei 2024 dengan eksport dan import masing-masing bernilai RM128.2 bilion dan RM118.1 bilion, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi eksport bernilai RM128.2 bilion pada Mei 2024, meningkat sebanyak RM8.7 bilion (7.3 peratus) berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Katanya, peningkatan eksport dipengaruhi oleh eksport yang lebih tinggi di kebanyakan negeri iaitu Johor (RM4.6 bilion), Pulau Pinang (RM2.6 bilion), Selangor (RM1.1 bilion), Perak (RM779.7 juta), Sabah (RM711.9 juta), Pahang (RM549.8 juta), Terengganu (RM533.5 juta), Negeri Sembilan (RM340.9 juta) dan Kedah (RM332.4 juta).
“Walau bagaimanapun, nilai eksport menurun di Kuala Lumpur sebanyak RM1.3 bilion, Labuan (RM633.1 juta), Sarawak (RM624.9 juta), Kelantan (RM360.9 juta), Melaka (RM201.1 juta) dan Perlis (RM27.2 juta).
“Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 29.1 peratus, diikuti oleh Johor (23.3 peratus), Selangor (18.2 peratus), Sarawak (7.0 peratus) dan Kedah (4.4 peratus),” katanya dalam kenyataan.
Beralih kepada prestasi import mengikut negeri, Mohd Uzir memaklumkan import pada bulan Mei meningkat RM14.3 bilion (+13.8%) berbanding bulan yang sama pada 2023.
Menurutnya, peningkatan import disebabkan oleh import yang lebih tinggi di kebanyakan negeri iaitu Johor (RM5.0 bilion), Pulau Pinang (RM3.1 bilion), Kuala Lumpur (RM2.1 bilion), Kedah (RM1.5 bilion), Melaka (RM1.1 bilion) dan Selangor (RM1.1 bilion).
Tambahnya, import lebih tinggi juga dicatatkan di Negeri Sembilan (RM816.4 juta), Labuan (RM92.1 juta), Pahang (RM89.2 juta), Kelantan (RM39.6 juta), Perak (RM34.3 juta) dan Perlis (RM11.4 juta).
“Walau bagaimanapun, nilai import jatuh di Sarawak sebanyak RM659.3 juta,Terengganu (RM157.0 juta) dan Sabah (RM77.2 juta).
“Selangor mendominasi import Malaysia dengan sumbangan 25.4 peratus, diikuti oleh Johor (23.9 peratus), Pulau Pinang (20.0 peratus), Kuala Lumpur (7.7 peratus) dan Kedah (5.5 peratus),” jelasnya.-UTUSAN










