PETALING JAYA: Pelabur asing membawa masuk RM7 bilion ke dalam pasaran ekuiti dan sekuriti hutang Malaysia pada Mei, sekali gus menjadikannya aliran masuk terbesar sejak Julai 2023.
Aliran masuk ekuiti berjumlah RM1.5 bilion dan aliran sekuriti hutang pula pada RM5.5 bilion selepas pasaran tempatan menyaksikan aliran keluar pelabur asing sebanyak RM800 juta pada April lalu.
Menurut UOB Research, aliran masuk itu membantu mengubah portfolio asing terkumpul bagi ekuiti dan bon buat kali pertama tahun ini pada RM700 juta antara Januari dan Mei.
“Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) juga berubah arah dan meningkat buat kali pertama dalam tempoh empat bulan sebanyak AS$800 juta (RM3.78 bilion) bulan ke bulan kepada AS$113.6 bilion (RM536.43 bilion) pada Mei.
“Ia memadai untuk membiayai 5.4 bulan import barangan dan perkhidmatan dan 1.0 kali ganda jumlah hutang luar negeri jangka pendek.
“Nisbah perlindungan import adalah selesa melebihi ambang kecukupan selama tiga bulan,” katanya dalam satu nota penyelidikan, semalam.
Firma penyelidikan itu berkata, UOB terus menjangkakan laluan bergelombang untuk aliran modal ke pasaran baru muncul seperti Malaysia.
Menurut firma, ia berdasarkan permulaan yang tidak menentu kepada kitaran pemotongan kadar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS), risiko geopolitik yang berlarutan, peningkatan perlindungan perdagangan dan peningkatan kebimbangan mengenai pembaharuan dasar dalam negeri.
“Ringgit juga akan kekal bergantung kepada turun naik walaupun langkah-langkah penyelarasan berterusan dijalankan oleh pihak berkuasa.
“BNM menganggarkan terdapat AS$6 bilion (RM28.33 bilion) hingga AS$7 bilion (RM33.05 bilion) potensi pendapatan tahunan untuk ditukar bagi membantu mengimbangi sebarang aliran keluar negatif dan menjadi penstabil aktif bagi ringgit.
“Hubungan yang lebih kukuh kepada yuan China juga akan menjadi penghalang kepada ringgit kerana yuan dijangka pulih secara meluas pada separuh kedua 2024,” katanya.
UOB Research menjangkakan kadar pertukaran dolar AS kepada ringgit pulih pada kadar kepada RM4.65 pada suku ketiga dan RM4.60 pada suku keempat tahun ini, daripada penutupan pada 10 Jun sebanyak 4.7230.
Tambahnya, peristiwa penting untuk diperhatikan bagi Malaysia dalam satu bulan akan datang termasuk data perdagangan luar negeri Mei, angka inflasi Mei dan mesyuarat dasar monetari BNM pada 10 hingga 11 Julai. – UTUSAN











