Kerajaan boleh tangguh pelarasan subsidi RON95 - penganalisis - Utusan Malaysia

Kerajaan boleh tangguh pelarasan subsidi RON95 – penganalisis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan boleh menangguhkan pelaksanaan rasionalisasi subsidi petrol RON95 bersasar tertakluk kepada dividen yang bakal diberikan Petronas tahun ini, kata Maybank Investment Bank Bhd. (Maybank IB).

Ketua Ahli Ekonomi Maybank IB, Suhaimi Ilias berkata, jika penyasaran subsidi RON95 ditangguhkan, kerajaan boleh menggunakan dividen tambahan Petronas untuk menampung sejumlah RM4.1 bilion yang diperlukan untuk mencapai sasaran pengurangan subsidi sebanyak RM11.5 bilion daripada Belanjawan 2024.

“Sudah tentu, kerajaan mempunyai kata putus mengenai kuantum dan masa sebenar pelarasan harga RON95, malah boleh menangguhkan pelaksanaan rasionalisasi subsidi petrol RON95 bersasar.

“Sebarang kekurangan daripada perbelanjaan subsidi boleh ditampung dengan dividen tambahan Petronas berbanding anggaran berjumlah RM32 bilion tahun ini,” katanya dalam nota penyelidikan.

Menurut Suhaimi, kerajaan dijangka perlu menaikkan harga minyak RON95 sebanyak 15.6 hingga 31.7 peratus daripada RM2.05 seliter ketika ini bagi mencapai sasaran pengurangan perbelanjaan subsidi yang berbaki RM4.1 bilion tahun ini.

“Simulasi Maybank IB menunjukkan jika rasionalisasi subsidi petrol RON95 yang disasarkan bermula pada 1 Julai 2024 untuk penjimatan RM4.1 bilion pada separuh kedua 2024, harga petrol RON95 perlu dinaikkan sebanyak 32 sen seliter (naik 15.6 peratus).

“Jika subsidi petrol RON95 yang disasarkan bermula pada 1 Oktober 2024 untuk mendapatkan penjimatan RM4.1 bilion pada suku keempat 2024, harga petrol tersebut perlu dinaikkan sebanyak 65 sen seliter (naik 31.7 peratus),” ujarnya.

“Rasionalisasi subsidi bahan api bersasar bermula dengan diesel bulan ini. Belanjawan 2024 bertujuan untuk mengurangkan perbelanjaan subsidi dan bantuan sosial’ kerajaan sebanyak RM11.5 bilion.

“RM7.4 bilion telah dicapai atau diumumkan iaitu RM4 bilion daripada subsidi elektrik bersasar; RM1.2 bilion daripada penyingkiran subsidi harga ayam dan RM2.2 bilion daripada subsidi bersasar diesel (bermua 10 Jun 2024, oleh itu penjimatan pro-rata berbanding RM4 bilion setahun penuh).

“Ini meninggalkan RM4.1 bilion melalui rasionalisasi subsidi bersasar petrol RON95,” katanya.
Jelasnya, dengan mengandaikan kenaikan harga petrol RON95 bersubsidi pada kadar masa ini pada RM2.05 seliter dan mengimbangi tunai bulanan kepada penerima yang layak (mengikut rasionalisasi subsidi diesel yang disasarkan), pihaknya menganggarkan kenaikan 10 sen seliter dalam harga menjimatkan RM2.5 bilion dalam subsidi setahun.

Tambahnya, reformasi fiskal lain pada tahun ini termasuklah menambah baik kecekapan dan pematuhan sistem percukaian bagi meningkatkan kutipan menerusi pelaksanaan e-invois oleh perniagaan yang dilaksanakan berperingkat bermula 1 Jun lalu.

Katanya, mencerminkan kepentingan e-invois, tarikh akhir pelaksanaan penuhnya dibawa ke hadapan kepada 1 Julai 2025 berbanding tarikh akhir sebelum ini pada 1 Julai 2027.

CIMB Treasury & Markets Research pula menjangkakan rasionalisasi harga petrol RON95 mungkin ditangguhkan sehingga suku keempat 2024, dengan kebarangkalian untuk diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2025 pada 11 Oktober 2024.

Jelasnya, petrol merangkumi bahagian yang lebih besar iaitu sebanyak 5.5 peratus dalam Indeks Harga Pengguna (IHP), bermakna sebarang pelarasan dalam harga petrol RON95 akan memberikan impak lebih besar kepada inflasi utama.

“Kerajaan berkemungkinan akan menumpu kepada pengurusan bantuan tunai subsidi diesel dalam beberapa bulan akan datang dan mengelak untuk bertindih dengan pemindahan tunai RON95,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN