KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melihat kelemahan ringgit yang berlaku pada tahun lalu adalah antara faktor utama yang menurunkan kedudukan Malaysia dalam Ranking Daya Saing Global (WCR) 2024.
Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, data yang diambil dalam WCR 2024 adalah berdasarkan prestasi ringgit pada tahun lalu sekali gus menjadikan berlakunya jurang tahunan indikator-indikator utama pada 2024.
“Satu daripada indikator yang paling besar adalah kestabilan ringgit yang memberikan kesan kepada produktiviti dan keberkesanan kerana semua ini berkaitan kepada kestabilan.
“Seperti yang kita semua tahu, ringgit banyak terjejas pada 2023 jadi daya saing kita terjejas disebabkan perkara itu.
“Bagaimanapun, untuk tahun ini ringgit semakin mengukuh dan kedudukan kita akan memberikan momentum yang lebih baik untuk WCR 2025,” katanya selepas merasmikan The Centralised Sustainability Intelligence (CSI) Solution oleh Bursa Malaysia di sini hari ini.
Kedudukan Malaysia turun tujuh anak tangga kepada 34 daripada 67 dalam Kedudukan Daya Saing Dunia IMD 2024.
Malaysia juga turun empat anak tangga ke kedudukan 10 daripada 14 negara Asia Pasifik yang termasuk dalam ranking itu, menurut sekolah perniagaan yang berpangkalan di Switzerland itu.
Dalam majlis itu, Tengku Zafrul turut mengumumkan bahawa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat yang memenuhi pendedahan program alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) layak untuk pertimbangan pemberian Dana Pemecut Pelaburan Domestik (DIAF).
“Insentif ini menggariskan komitmen kami untuk memastikan syarikat di negara ini terutamanya PKS tidak ketinggalan dalam perjalanan negara ke arah neutraliti karbon dan pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
“Menyokong syarikat ini adalah penting kerana hampir 98 peratus perniagaan Malaysia adalah PKS dan mewujudkan 7.3 juta pekerjaan dan menyumbang hampir kepada 40 peratus (37.4 peratus) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara,” katanya.-UTUSAN









