PETALING JAYA: Kenanga Investment Bank Bhd. mengekalkan unjuran purata kadar pengangguran pada 3.2 peratus tahun ini, berbanding 3.4 peratus pada 2023 dengan jangkaan pengambilan pekerja berterusan menjelang akhir tahun.
Bank pelaburan itu berkata, pasaran buruh dijangka kekal stabil sepanjang 2024, dengan aktiviti pengambilan pekerja yang positif dipacu oleh pengembangan kukuh dalam sektor perkhidmatan dan disokong oleh pemulihan dalam sektor pembuatan.
“Ini sejajar dengan ramalan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kami sebanyak 4.5 hingga 5.0 peratus pada 2024 (2023: 3.7 peratus), menunjukkan aktiviti ekonomi yang teguh.
“Di samping itu, realisasi rekod pelaburan yang diluluskan bernilai RM329.5 bilion yang direkodkan tahun lepas dan projek infrastruktur pelbagai tahun kerajaan yang berterusan yang diperincikan dalam Bajet 2024 juga dijangka meningkatkan aktiviti pengambilan pekerja dalam beberapa bulan akan datang,” katanya dalam nota penyelidikan.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Maybank Investment Bank Bhd. (Maybank IB), Suhaimi Ilias dalam nota penyelidikannya berkata, kadar pengangguran dijangka terus menurun kepada purata 3.3 peratus bagi keseluruhan tahun ini berbanding 3.4 peratus pada 2023.
Katanya, ini setelah mengambil kira kadar yang menyederhana kepada 3.4 peratus tahun lalu berbanding 3.8 peratus pada 2022 dan purata 3.3 peratus pada empat bulan pertama tahun ini.
Jelasnya, kadar pengangguran kekal pada 3.3 peratus untuk bulan keenam berturut-turut pada April apabila pertumbuhan pekerjaan (April 2024: naik 1.9 peratus) terus melepasi pertumbuhan tenaga buruh (April 2024: naik 1.7 peratus).
“Sementara itu, jumlah pengangguran turun 3.5 peratus tahun ke tahun dan 0.04 peratus bulan ke bulan (April 2024: 566,400; Mac 2024: 566,600),” ujarnya.
Kenanga berkata, pengangguran belia ‘melekat’ pada 10.6 peratus selama enam bulan berturut-turut pada April 2024 (Mac 2024: 10.6 peratus) dan kekal dalam julat 10.6 hingga 10.8 peratus sejak Ogos 2023.
“Oleh itu, ia masih melebihi paras terendah sebelum pandemik 9.9 peratus dalam Disember 2019.
“Sementara itu, kadar kurang guna tenaga berkaitan kemahiran turun sedikit kepada 11.8 peratus daripada jumlah pekerja pada suku pertama 2024 (suku keempat 2023: 11.9 peratus) tetapi kekal dalam julat 11.8 hingga 11.9 peratus sejak suku keempat 2022,” tambahnya. – UTUSAN