Izzat Steamboat & Grill usaha anak jati utara Malaysia

Izzat Steamboat & Grill usaha anak jati utara Malaysia

RESTORAN Izzat Steamboat & Grill mempunyai pensijilan halal daripada Jakim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IZZAT Steamboat & Grill, restoran makanan periuk panas dan gril ala bufet, merupakan hasil usaha gigih seorang anak jati dari utara Malaysia yang mempunyai minat mendalam dalam bidang perniagaan makanan dan minuman (F&B).

Pengasasnya, Mohd. Izzat Bin Marzukhi, 35, telah berjaya mencipta nama dalam industri tersebut dan minatnya terhadap perniagaan F&B lahir sejak kecil kerana membesar dalam persekitaran tersebut. 

“Saya mula mengikuti arwah bapa, Marzukhi Zainol berniaga sejak kecil di Pesta Pulau Pinang, bazar Ramadan di stadium Seksyen 13 serta menjalankan restoran dan lain-lain perniagaan di sekitar Pulau Pinang.

“Malah, ketika sedang me­nuntut di Universiti Teknologi Mara (UITM) Merbok, Kedah juga saya tetap berniaga secara kecil-kecilan menjual nasi lemak dan lain-lain dari bilik ke bilik di kolej kediaman dan saya juga pernah menjalankan perniagaan kereta sewa di sekitar Shah Alam.

“Dunia F&B sudah sebati dalam diri, jadi daripada minat saya berusaha menjalankan perniagaan sendiri setelah melihat potensi keuntungan yang boleh diperoleh,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelas Izzat, dia mengambil peluang tersebut untuk menceburi perniagaan ini apabila melihat kekosongan dalam pasaran restoran steamboat di Teluk Intan, Perak dengan modal mencecah ratusan ribu ringgit.

“Selepas berkahwin, saya lihat tiada restoran steamboat di Teluk Intan, berbeza dengan di Ipoh yang mempunyai pelbagai restoran.

“Jadi, saya melihat ini sebagai satu peluang dan Alhamdulillah, perniagaan kini semakin berkembang.

“Restoran Izzat Steamboat & Grill berkonsepkan sepenuhnya mempunyai pendingin hawa dan akan memberikan keselesaan kepada pelanggan. 

“Kami mengambil alih bekas restoran sushi dan suasana yang selesa ini semestinya menarik lebih ramai pelanggan,” katanya yang turut berjaya mendapatkan pensijilan halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk restorannya.

Menurutnya, Izzat Steamboat & Grill telah mempunyai dua cawangan, iaitu di Teluk Intan, Perak dan Sungai Petani, Kedah dan kini merancang untuk membuka cawangan ketiga di Bayan Baru, Pulau Pinang pada tahun ini.

“Saya memilih Pulau Pinang sebagai lokasi cawangan ketiga kerana ia merupakan tanah kelahiran saya. Orang kata, kita perlu jaguh di kampung sendiri dahulu.

“Kami juga merancang untuk membuka lima cawangan lagi di sekitar Lembah Klang menje­lang 2025,” ujarnya.

Izzat turut menyatakan hasrat untuk menjadi salah satu restoran steamboat milik orang Melayu yang sebaris dengan jenama-jenama besar suatu hari nanti.

“Saya yakin anak Melayu juga boleh berjaya dan siapa sangka Izzat Steamboat & Grill boleh melebarkan sayap ke luar negara pula selepas ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN