PETALING JAYA: Izzat Steamboat & Grill, restoran makanan steamboat dan grill ala bufet lebih yakin dapat memperkukuhkan perniagaannya selepas menerima sijil halal daripada Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) awal tahun ini.
Pengasas Izzat Steamboat & Grill, Mohd. Izzat Marzukhi, 35, berkata, restoran yang terletak di Teluk Intan, Perak itu mula dibuka pada awal Ogos 2023 dan membuat permohonan sijil halal yang memakan masa selama tiga hingga empat bulan.
“Kami sudah beroperasi hampir setahun dan telah mendapat sijil halal daripada Jakim pada Januari tahun ini. Pengiktirafan halal itu secara tidak langsung memberikan lebih keyakinan kepada pelanggan, terutama yang beragama Islam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Izzat berkata, Izzat Steamboat & Grill turut dalam proses permohonan Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dan Pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS).
“Permohonan kedua-dua sijil ini bertujuan memberikan jaminan tambahan kepada pelanggan mengenai kebersihan dan keselamatan makanan yang kami sajikan,” katanya.
Menurutnya, restoran stimbot dan panggang itu menyediakan pelbagai perapan daging, ayam, kambing dan ikan yang boleh dinikmati tanpa was-was.
“Kami mempunyai lima jenis kuah stimbot iaitu kari tomyam, sup ayam, asam pedas dan yang terbaharu, kuah udang di dalam menu serta 10 jenis sos yang pelbagai,” katanya.
Sementara itu, Izzat Steamboat & Grill juga menjangkakan akan mengeluarkan produk kuah rojak pada Julai tahun ini bagi memenuhi permintaan pelanggannya.
“Kami akan mengeluarkan produk kuah rojak yang dibotolkan atas permintaan ramai yang mempunyai empat perisa iaitu kacang bijan, rasa pedas, masam-masam manis dan perisa asli serta akan memohon sijil halal bagi produk baharu ini,” katanya.
Tambahnya, sijil halal itu amat penting bagi memudahkannya memasarkan produk tersebut di pasar raya, stesen minyak, kedai-kedai runcit dan sebagainya.
“Sijil halal merupakan ‘tiket’ sebenar untuk kita meluaskan pasaran produk sama ada di dalam atau luar negara, sekali gus memastikan segala bahan, makanan, premis dan penampilan pekerja adalah suci dan bersih tanpa was-was,” katanya.-UTUSAN










